Anda di sini

RM10 juta untuk Skim Pinjaman Rumah Panjang

Advertisement

Oleh Rusnan Mustafa//

 Irwan (kiri) menyampaikan replika cek kepada Morshidi sambil disaksikan tetamu yang lain.

UNTUK RAKYAT SARAWAK: Irwan (kiri) menyampaikan replika cek kepada Morshidi sambil disaksikan tetamu yang lain.

KUCHING: Kerajaan persekutuan memperuntuk RM10 juta untuk meneruskan Skim Pinjaman Rumah Panjang di Sarawak pada tahun ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, peruntukan itu bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah yang sukar mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan mendapatkan pinjaman untuk membina dan membaik pulih rumah panjang mereka.

“Skim ini menawarkan pinjaman sehingga RM15,000 bagi satu pintu dalam unit rumah panjang,” ujarnya pada sidang media selepas majlis penyampaian replika cek kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Pada masa sama, Irwan memberitahu sejak 2006 hingga 2015, kerajaan persekutuan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM72.5 juta kepada kerajaan negeri bagi pelaksanaan skim tersebut.

“Ia adalah usaha kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya penduduk luar bandar di Sarawak untuk memiliki dan mempunyai kediaman yang selesa,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Irwan memberitahu pembinaan dua Pusat Transformasi Bandar (UTC) masing-masing di Sibu dan Miri dan satu Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Betong dijangka siap hujung bulan ini.

“Pembinaan UTC dan RTC ini adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai agensi,” katanya.

Menyentuh mengenai penubuhan ‘Co-Working Space’ di Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC), Irwan memberitahu ia adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan capaian kepada program keusahawanan di kalangan masyarakat tempatan.

Malah, menurutnya, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan menganjurkan program keusahawanan Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT) 2016 pada April ini di Kuching dan dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Morshidi memberitahu skim itu dapat membantu rakyat Sarawak terutama penduduk di rumah panjang mendapatkan pinjaman bagi membina dan membaik pulih kediaman mereka.

“Bagi program GREAT pula, kita menyasarkan 5,000 belia Sarawak akan menyertai program tersebut,” ujarnya.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eskekutif Soara Industries Ganesh Muran yang merupakan salah seorang peserta MaGIC berjaya membuat demonstrasi teknologi penapis air solar di situ semalam.

 

Advertisement