Anda di sini

Perpustakaan baharu Kampung Kuala Rajang dirasmi 24 Feb

Advertisement

KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh akan merasmikan perpustakaan baharu Kampung Kuala Rajang pada Rabu, 24 Februari ini.

Acara yang bermula pada jam 10.30 pagi itu bakal menyaksikan kerjasama masyarakat dalam menjayakan aktiviti gotong-royong dan penanaman pokok yang turut diadakan di kawasan perpustakaan.

Sementara itu, program berunsur pendidikan untuk semua lapisan umur seperti Kelas Maklumat Literasi, ‘Born To Read,’ pertandingan bercerita, ‘Info Hunt’ serta pertandingan mengubah bunga dan membuat kek cawan juga akan diadakan sempena majlis tersebut.

Program tersebut menyasarkan pengukuhan hubungan dan jaringan kerjasama sesama masyarakat setempat, selain menyuntik tabiat membaca serta menggalakkan masyarakat untuk menggunakan perpustakaan lebih kerap.

Projek perpustakaan kampung itu merupakan projek rakan kongsi dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Pustaka Negeri Sarawak, Majlis Daerah Matu Daro dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Dana bagi melaksanakan projek tersebut adalah di bawah geran operasi khas daripada kerajaan persekutuan.

Pada masa ini, perpustakaan kampung itu memiliki kira-kira 1,400 koleksi dan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Selain itu, ia juga dilengkapi pelbagai bahan bacaan lain merangkumi pelbagai subjek, sebagai memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat pelbagai jenis seperti yang diperlukan.

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi Razak Rambili menerusi talian 082-442000 sambungan 348 atau e-mel kepada [email protected].

 

Advertisement