Anda di sini

Kemudahan kesihatan Sarawak terus diperkasa

Advertisement

Oleh Rusnan Mustafa//

 Dr Subramaniam ditemani Dr Sim melihat mesin intervensi yang digunakan untuk merawat pesakit jantung semasa lawatan kerjanya di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak semalam.

KAGUM: Dr Subramaniam ditemani Dr Sim melihat mesin intervensi yang digunakan untuk merawat pesakit jantung semasa lawatan kerjanya di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak semalam.

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kesihatan terus memperkasakan kemudahan perkhidmatan kesihatan di negeri ini menerusi pelaksanaan tiga projek pembinaan klinik dan hospital baharu serta menaik taraf kemudahan sedia ada di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, projek berkenaan telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 Rolling Plan (2016/2017) yang merupakan projek diberi keutamaan untuk dilaksanakan.

Beliau menjelaskan projek tersebut ialah pembinaan baharu Klinik Tabuan Jaya yang dianggarkan menelan kos RM40 juta, Klinik Siburan baharu dengan kos dianggarkan sebanyak RM35 juta dan projek pembinaan Hospital Petra Jaya yang menelan kos sebanyak RM500 juta.

Tambahnya, kesemua projek itu dijangka siap dalam tempoh satu hingga tiga tahun.

“Saya telah mengadakan lawatan di setiap kemudahan kesihatan iaitu di bandar raya Kuching dan sekitarnya untuk melihat keperluan bagi menaik taraf dan sebagainya supaya kemudahan kesihatan yang sedia ada dapat ditingkatkan demi rakyat di Sarawak.

“Dan sebagai contoh, selepas Klinik Tabuan Jaya ini dibina nanti ia akan membantu peduduk di sekitar kawasan berkenaan terutama golongan berpendapatan rendah mendapatkan kemudahan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Jantung HUS di sini semalam.

Pada masa sama, Dr Subramaniam memberitahu projek naik taraf lif, pendingin hawa dan pengudaraan serta ubah suai dan tambahan blok servis klinikal HUS juga dilaksanakan dengan kos dianggarkan sebanyak RM53 juta.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai projek pembinaan Hospital Petra Jaya, beliau menjelaskan kemungkinan hospital berkenaan akan menjadi Hospital Ibu dan Anak bagi mengurangkan kesesakan di HUS apabila ia siap kelak.

“Saya sudah bincang dengan (Pengarah Kesihatan Negeri) Datu Zulkifli Jantan tentang cadangan kemungkinan untuk kita menjadikan Hospital Petra Jaya sebagai Hospital Ibu dan Anak.

“Sekiranya perkara itu boleh dilakukan selepas hospital ini yang dijangka siap dalam tempoh setahun setengah lagi, ia akan mengosongkan lebih kurang 300 katil yang digunakan untuk perkhidmatan ibu dan anak di HUS,” katanya.

Ditanya sama ada pengubahsuaian Bajet 2016 akan menjejaskan projek dan perkhidmatan kemudahan kesihatan di negeri ini, Dr Subramaniam berkata, projek yang telah diumumkannya itu tidak akan terjejas dan dilaksanakan sepenuhnya.

Hadir sama pada lawatan semalam ialah Senator Datuk Dr Sim Hui Hian.

 

Advertisement