Anda di sini

Pemasaran makanan laut perlu kawalan sistematik

Advertisement

SANDAKAN: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran mencadangkan pengawalan lebih sistematik dalam memasarkan produk makanan laut untuk memberi keuntungan dua hala antara pengeluar dan pembeli.

Pengerusinya Jaini Ating berkata langkah itu perlu untuk mengehadkan nilai pengeluaran makanan laut di Sabah dengan harga yang tetap bagi memberi kebaikan berterusan kepada pihak pengeluar, kerajaan dan rakyat.

“Langkah tersebut memberi jaminan kepada Sabah untuk terus menjadi pengeluar bahan makanan laut yang berkualiti, halal dan meyakinkan pengusaha serta penternak ikan dalam negara,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan negeri agar PNK dan Persatuan Nelayan Negeri Sabah diberi peranan sebagai badan pengawal bagi mengeksport produk makanan laut di negeri ini, sebagaimana yang berjaya dilakukan di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Ia bukan saja memberi kebaikan kepada hasil pengeluaran negeri, tetapi menguntungkan rakyat khususnya ahli PNK, sekaligus memberi manfaat daripada aktiviti pengawalan dan perlindungan produk perikanan setempat,” kata Jaini.

Sehubungan itu, beliau berkata keputusan kerajaan negeri membekukan eksport makanan laut segar bermula 1 Feb lepas tepat pada masanya.

Kata Jaini, langkah itu membolehkan makanan laut diperoleh dengan lebih mudah dan murah oleh pengguna di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Yahya Hussin ketika mengumumkan perkara itu berkata langkah tersebut bagi memastikan masyarakat tempatan mahupun pelancong dapat bekalan makanan laut segar yang mencukupi. — Bernama

Advertisement