Anda di sini

Kerajaan kawal aedes, elak epidemik: Jerip

Advertisement

KUCHING: Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Jerip Susil berkata jumlah kes demam denggi di negeri ini masih terkawal namun tidak boleh diambil ringan kerana dibimbangi menjadi epidemik.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas notis Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching yang mengeluarkan kenyataan bahawa kawasan Demak Laut kawasan berisiko denggi pada 4 Februari lepas.

“Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menjalankan pemeriksaan, pengasapan dan membasmi tempat pembiakan larva nyamuk aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan bantuan angpau sempena Tahun Baharu Cina di Balai Raya Siburan semalam.

Katanya, perkara paling penting ialah gotong-royong kerana ia mewujudkan kesedaran kepada masyarakat serta komuniti mengenai aspek pencegahan denggi.

Ujar beliau, aedes semakin banyak disebab musim hujan akibat kawasan sekeliling lembap yang sesuai untuk pembiakan nyamuk.

Jumlah terkumpul dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Kuching baru-baru ini mencatatkan sebanyak 15 kes sehingga 3 Februari tahun ini.

Bagaimanapun Jerip menjelaskan, jumlah kes menunjukkan angka lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Terdahulu, beliau sebelum itu turut menyerahkan bantuan kepada 36 penduduk kurang upaya dan kurang berkemampuan dari Kampung Siburan.

Katanya, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberikan peruntukan sebanyak RM5-RM10,000 seorang oleh NADI iaitu program dijalankan Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga setiap tahun.

Ia bertujuan untuk membantu golongan kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan

Beliau berkata Parti Rakyat Bersatu (UPP) telah menjalankannya di bawah program Gerakan Kasih di seluruh kawasan Bengoh untuk memberi kemudahan seperti kerusi roda, tongkat, bantuan makanan dan sebagainya.

Ujarnya, masyarakat Cina tidak dipula dan dilayan sama rata seperti kaum lain di negeri ini.

“Ini kerana mereka menyumbang banyak terhadap pembangunan ekonomi negeri dalam bidang keusahawanan.

“Ia sejajar dengan hasrat dan usaha kerajaan negeri yang masih menjaga kebajikan kaum Cina,” katanya.

Setiausaha Publisiti UPP, Liu Thian Leong berkata Ketua Menteri baru-baru ini telah meluluskan ujian peperiksaan UEC untuk di teruskan.

“Beliau juga telah memberi peruntukan dana sebanyak tiga kali iaitu RM3 juta, RM4 juta dan baru-baru ini RM5 juta.

“RM 6 juta akan diberi sekali lagi jika beliau mkekal menerajui Sarawak selepas ini,” katanya.

Ujar beliau Ketua Menteri mempunyai toleransi yang baik bagi setiap bangsa dan agama yang ada di negeri ini dan harus dilayan sama rata.

Advertisement