Anda di sini

JKKK berperanan besar bangun kawasan

Advertisement

Jalin hubungan baik dengan penduduk, salur maklumat tepat dengan amanah, ikhlas

Oleh Mastura Ismail //

LIMBANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diingat supaya tidak mementingkan  populariti sebaliknya menjadikan keistimewaan sebagai pemimpin peringkat akar umbi untuk menjalankan  tugas membangun kawasan kampung masing-masing.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata JKKK  perlu mempunyai hubungan baik dengan penduduk setempat dengan menyalur maklumat tepat dengan penuh amanah serta ikhlas.

Pada masa sama, mereka perlu memahami maklumat dan peraturan berkaitan dengan bantuan kebajikan masyarakat seperti Program Bantuan Rumah serta bantuan lain sebelum pengesahan dilakukan.

“Jangan hanya bersandar kepada populariti semata-mata. Tetapi JKKK mempunyai peranan lebih luas bagi menunai tanggungjawab dengan berkesan.

“JKKK perlu tahu kriteria dan maklumat berkaitan bantuan kebajikan masyarakat sebelum disahkan, jika tidak dilakukan dengan jujur ia akan membawa perpecahan kepada komuniti kampung,” katanya pada Majlis Permuafakatan JKKK Daerah Limbang disini semalam.

Turut sama ialah  Menteri Muda Kemudahan Awam, Datuk Slyvester Entri Muran, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Datu Maria Hasman dan Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak berkata lagi ketepatan maklumat akan mengurangkan salah faham dan meningkatkan persefahaman.

Beliau berkata maklumat tidak tepat oleh pemohon tetapi disahkan oleh ketu masyarakat akan mengambarkan corak kepimpinan yang tidak telus dan amanah.

“Selain itu kefahaman penduduk kampung berkaitan sesuatu isu akan bertambah melalui komunikasi berkesan antara  penduduk dan JKKK,”katanya lagi.

Jelasnya penduduk kampung juga seharusnya mempunyai hubungan baik bukan saja kepada JKKK malah kepada agensi kerajaan, pegawai daerah dan pemimpin di kawasan mereka.

“Hubungan baik ini amat penting bagi membolehkan kita bertukar maklumat dan pendapat selain mengelak berlakunya syak wasangka,”tambahnya.

Awang Tengah memberitahu lagi isu keselamatan dan ketenteraman juga perlu dititikberatkan JKKK dalam memelihara keamanan di kawasan kampung.

“Kita tahu bahawa isu pendatang asing tanpa izin (PATI) sentiasa cuba hendak memasuki kawasan kita. Kehadiran mereka ini boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman kita,” jelasnya.

Justeru, beliau mahu JKKK bersama menyalur maklumat kepada pihak berkuasa bagi tindakan susulan.

Selain itu JKKK juga tidak harus bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa, sebaliknya bersama-sama menangani pelbagai isu keselamatan termasuk kes kecurian, pencerobohan balak dan tanah sekiranya berlaku.

Katanya lagi kerjasama erat antara ketua masyarakat selain penglibatan agensi kerajaan penting dalam memastikan keselamatan kampung terpelihara.

Beliau turut menggesa ketua masyarakat agar memahami fungsi dan peranan JKKK kerana mereka adalah pemimpin dan wakil pihak kerajaan yang mempunyai hubungan langgsung dengan rakyat.

“JKKK dilantik kerajaan sekarang harus memberi sepenuh sokongan terhadap setiap program disedia kerajaan,”katanya lagi.

Advertisement