Anda di sini

Kini bergelar Harimau Malaysia

Advertisement

 Tengku Abdullah (empat kiri) bersama barisan penaja pada majlis pengenalan penaja pasukan bola sepak kebangsaan 2016 di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

SEMANGAT BAHARU: Tengku Abdullah (empat kiri) bersama barisan penaja pada majlis pengenalan penaja pasukan bola sepak kebangsaan 2016 di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak kebangsaan yang sebelum ini digelar ‘Harimau Malaya’, kini dikenali dengan jolokan ‘Harimau Malaysia’.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengumumkan perkara itu, hari ini berharap gelaran baharu itu dapat menyuntik semangat pemain dan penyokong agar skuad negara mampu mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

“FAM berasa gelaran Harimau Malaya tidak lagi sesuai diguna pakai kerana perkataan Malaya itu sendiri tidak dipakai secara menyeluruh di negara ini selepas pembentukan Malaysia pada 1963. Saya berharap gelaran ini bertepatan untuk menggambarkan skuad kebangsaan adalah milik seluruh rakyat Malaysia.

“Jadi, saya tidak mahu nama sahaja baharu, malah mahu pemain mempunyai semangat baharu untuk mencapai kejayaan…Harimau Malaysia yang lebih garang dan boleh menggaum berdepan pasukan lain, sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara,” katanya pada majlis pengenalan penaja skuad kebangsaan di sini.

Beliau turut berharap skuad kebangsaan yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee secara rasminya bermula 18 Jan lepas, tidak akan mengulangi prestasi memalukan selepas ini.

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani penajaan skuad kebangsaan yang diwakili Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Telekom Malaysia, Nike, 100 Plus dan Bank Islam.

Telekom Malaysia yang merupakan penaja utama pasukan kebangsaan sejak 2011, telahpun memeterai pembaharuan perjanjian penajaan selama lima tahun sehingga 2020, namun jumlah penajaan tidak didedahkan.

Naib Presiden FAM Datuk Sudarsono Osman berkata keputusan menukar gelaran skuad kebangsaan itu, turut dapat mempamerkan perpaduan nasional di samping menghargai sumbangan penduduk Sabah dan Sarawak kepada pasukan negara.

“Saya gembira dengan keputusan ini, kerana sebelum ini pernah ada penyokong Sabah dan Sarawak yang mempersoalkan perkara ini. Saya berharap mereka akan gembira selepas ini,” katanya.

Pada tahun lepas, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pernah menyuarakan saranan supaya gelaran Harimau Malaysia diguna pakai untuk merujuk kepada skuad kebangsaan berbanding Harimau Malaya, yang seolah-olah seperti penyokong dari Sabah dan Sarawak tidak terlibat langsung.

Selain itu, FAM juga melancarkan peraduan mencipta logo Harimau Malaysia, bagi mencipta imej baharu pasukan kebangsaan yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 serta pengalaman bersama skuad kebangsaan pada Kejohanan AFF Suzuki pada akhir tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai peraduan itu boleh diperoleh di laman sesawang rasmi FAM, www.fam.org.my atau Facebook, Football Association of Malaysia (Official) dan juga akaun Twitter @FAM_Malaysia.- BERNAMA

Advertisement