Anda di sini

Hampir tiada pekebun tuntut IPG walau ada RM1 juta dana

Advertisement

BETONG: Hampir tiada pekebun kecil getah menuntut Insentif Pengeluaran Getah (IPG) di negeri ini walaupun ada RM1 juta peruntukan kepada Sarawak bagi tujuan itu, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut beliau, pekebun kecil juga tidak mempunyai maklumat mendalam mengenai usaha kerajaan untuk membantu mereka terutama apabila harga turun naik dan tidak menentu.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa sebab utama lain adalah kerana tidak mempunyai invois apabila menjual hasil jualan yang menyebabkan pekebun kecil berkenaan tidak dapat membuat tuntutan.

“Saya tidak percaya mengenai perkara ini tetapi ia berlaku disebab salah maklumat.

“Namun kita dimaklumkan sebab utama masalah ini adalah mereka tidak diberi invois atau resit yang membuktikan transaksi jualan yang menyebabkan mereka tidak dapat menuntut insentif,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Program Hello Komoditi yang diadakan di Dataran Tandang Sari di Pusa dekat sini, semalam.

Uggah menjelaskan, peniaga digesa memberi resit kepada mereka sebagai bukti membolehkan mereka membuat tuntutan dan pekebun kecil perlu mendapat resit kerana dokumen penting dalam membuat tuntutan selain kad keahlian.

Bagi menuntut insentif, setiap pekebun kecil getah perlu mendaftar di Pejabat Pertanian Negeri untuk mendapatkan kad Permit Pengesahan Transaksi Getah (Pat-G).

Pekebun kecil juga perlu menyediakan invois bagi getah yang dijual dan menunjukkan kad Pat-G mereka, yang mana jumlah insentif adalah berdasarkan kepada jumlah jualan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Muda Kebajikan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Robert Lawson Chuat, ADUN Beting Maro Razaili Gapor dan ADUN Saribas Mohammad Razi Sitam.

Uggah berkata, bayaran insentif dibuat sejak Oktober lepas dengan 10 peratus bagi setiap sekilogram pada bulan berkenaan dan ia meningkat kepada 50 peratus bagi bulan November sementara Disember tuntutan adalah 40 peratus bagi sekilogram.

“Sementara itu pada bulan ini harga kekal pada RM1.40 per kg dengan bayaran akan diberikan 66 sen setiap kg,” tambahnya.

Berhubung isu lain, Uggah berkata Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM78 juta bagi komoditi dan industri perladangan dalam usaha membantu petani kecil tempatan dalam bajet tahun ini daripada kerajaan persekutuan.

Menyentuh mengenai industri kelapa sawit, beliau berkata harga pasaran komoditi  meningkat sedikit memandangkan pengurangan stok (stock) oleh kedua-dua Malaysia dan Indonesia.

“Pada bulan lepas Lembaga Minyak Sawit Malaysia mengeluar kenyataan bahawa stok dikurangkan daripada 2.9 juta tan kepada 2.6 juta tan.

“Ia kerana harga minyak sawit kita diiktiraf sebagai penanda aras kepada dunia dan ia membantu meningkat harga.

Kerana harga kelapa sawit kami diiktiraf sebagai penunjuk di dunia, nampaknya ia akan membantu meningkatkan harga,” katanya.

Jelasnya, kementerian akan membentangkan kertas kerja untuk mencadang pengeluaran biodiesel ditingkat daripada tujuh peratus kepada 10 peratus.

Katanya, dengan peningkatan harga ini, ia isyarat kepada pasaran bahawa harga komoditi akan pulih pada tahun ini.

Berhubung program Hello Komoditi beliau berkata, Pusa merupakan daerah pertama untuk menjadi tuan rumah bagi progra,.

Program turun padang oleh kementerian untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dikalangan masyarakay khasnya pekebun kecil dan usahawan berkaitan komoditi serta menyediakan peluang perniagaan kepada mereka.

Advertisement