Anda di sini

Skuad bola tampar wanita Sarawak yakin kekal juara

Advertisement

SIBU: Pasukan bola tampar wanita Sarawak di bawah ketua jurulatih Datuk Moh Wung Ming yakin mengekal gelaran juara Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 yang akan dihos oleh Sarawak dari 22 Julai hingga 31 Julai ini yang memperagakan 24 acara.

Beliau berkata pasukannya telah memulakan latihan pusat sejak bulan Disember tahun lalu sebanyak dua sesi setiap hari selama enam hari seminggu.

“Kami komited dan yakin untuk mengekal gelaran juara. Semua pemain saya sangat komited dalam latihan mereka. Kami mulakan latihan pusat lebih awal kerana kami mahu bersedia sepenuhnya walaupun Majlis Sukan Negeri Sarawak (SSSC) memberi sehingga Mac ini untuk semua pasukan memulakan latihan pusat,” katanya yang juga pengerusi Persatuan Bola Tampar Sibu.

Moh yang juga bakal menjadi ketua jurulatih pasukan bola tampar wanita negara pada Sukan SEA 2017 berkata skuad Sarawak menjangka cabaran sengit pada Sukma nanti terutama daripada pasukan seperti Pahang dan Johor yang dijangka menurunkan pemain dari Sukan Sekolah Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar.

Beliau berkata Pahang dijangka turut mengekal 10 pemain Sukma 2014.

Bagi Sarawak, terdapat lima pemain negeri dalam skuad kebangsaan bagi Sukan SEA 2017 yang akan mewakili negeri pada Sukma kali ini, kata Moh.

Beliau berkata pasuka Sarawak menyertai kejohanan sebagai pendedahan tahun lepas dengan muncul juara kejohanan bawah 20 tahun kebangsaan dan di tempat ketiga dalam Liga Bola Tampar Filipina.

“Tahun ini kami akan sertai Kejohanan Antarabangsa Bantam, Jemputan Vietnam dan Kejohanan Bola Tampar Taiwan untuk menentang pasukan kuat,” katanya yang juga pengerusi lembaga kejurulatihan Persatuan Bola Tampar Malaysia. — Bernama

Advertisement