Anda di sini

Tabung pendidikan perlu ditubuh di Kanowit

Advertisement

Bantu pelajar lanjut pengajian ke peringkat tertinggi, cadangan sudah lama namun belum dilaksana

Oleh Watt Zacchaeus //

KANOWIT: Tabung pendidikan wajar ditubuh di daerah Kanowit bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berkata cadangan itu sudah lama dirancang namun masih belum dilaksanakan.

“Kanowit harus mempunyai tabung pendidikan. Saya bersedia untuk berunding dengan dua wakil rakyat di Kanowit iaitu Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan ADUN Machan Datuk Gramong Juna bagi mencapai tujuan itu.

“Kita mahu tabung ini kelak berperanan membantu semua kaum di Kanowit untuk para pelajar melanjutkan pendidikan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jalan simen di Rumah Kalom Lajoo, Sungai Sengayan di sini, petang kelmarin.

Hadir sama ialah Penghulu Juin Adan, Tuai Rumah Kalom serta ketua-ketua masyarakat setempat.

Alexander memberitahu, untuk menubuhkan jawatankuasa tabung itu ia hendaklah melantik individu bebas yang tidak terlibat dengan mana-mana politik.

“Kami sebagai wakil rakyat akan membahagikan geran untuk tabung itu bagi memudahkannya bergerak. Saya juga bersedia menyumbang dari segi kewangan untuk tabung tersebut,” jelasnya.

Ditanya bila tabung itu akan ditubuhkan, Alexander berkata beliau bersedia membincangkan perkara ini dengan Gramong dan Aaron nanti.

Bercakap mengenai masalah pengangguran di kalangan graduan di kawasannya, beliau memberitahu, masalah itu turut berlaku di negara ini.

“Masalah pengangguran ini kita tidak menyalahkan kerajaan semata-mata. Masalah ini terjadi di seluruh negara. Sekarang banyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk menangani masalah tersebut.

“Kepada graduan di luar sana, kita harus peka dengan perkembangan-perkembangan terkini dan bijak mengambil peluang. Dan yang paling penting jangan memilih pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata masalah tekanan air yang dihadapi penduduk di kawasan Mapai, Bejait dan Bawan akan selesai apabila sebuah tangki air dicadangkan sebelum ini akan dibina di Jalan Nibong-Tada.

“Saya sudah mengemukakan masalah ini semasa Persidangan DUN hujung tahun lalu. Ia sudah diluluskan oleh menteri yang berkenaan. Tangki ini akan dibina di Mapai dan ia akan dilaksanakan dua ke tiga tahun akan datang menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Kepada penduduk berkenaan, diharap bersabar menunggu pembinaannya kelak,” tambahnya.

Advertisement