Anda di sini

Pertahan silat agar tidak tenggelam dalam arus kemodenan: Johari

Advertisement

KUCHING: Pertahankan seni silat Sarawak agar ia tidak tenggelam dalam arus kemodenan khususnya dalam kalangan anak muda di negeri ini.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada Majlis Malam Pendekar Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kuching di Dewan Hikmah di sini malam kelmarin.

“Saya percaya kehadiran Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) dapat memberi semangat juang kepada anak-anak sekalian untuk meneruskan ilmu persilatan sebagai satu budaya yang menggambarkan keagungan bangsa kita dan seterusnya menyemarakkan lagi ilmu silat di negeri ini,” katanya.

Majlis yang dirasmikan oleh Adenan itu dihadiri lebih 500 pesilat daripada 12 perguruan seni silat yang berdaftar di bawah RSS.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, silat juga dapat membentuk dan mendisiplinkan generasi muda agar taat kepada agama, ibu bapa, pemimpin serta mendaulatkan seni silat di negeri ini.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada RSS kerana berjaya menganjurkan majlis kita malam ini, tahniah kepada kepada anak-anak kita sekalian kerana kita dapat menumpukan sedikit masa untuk belajar ilmu silat,” tambahnya.

Terdahulu, pengerusi pengelola merangkap Timbalan Presiden RSS Fazzrudin Abdul Rahman berkata, beliau bangga dengan penyertaan yang memberangsangkan daripada perguruan silat di wilayah Kuching.

“Justeru, saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan pada masa sama kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana sudi merasmikan Majlis Malam Pendekar ini,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan tetamu kehormat lain.

Advertisement