Anda di sini

Chong Wei masih belum diuji

Advertisement

GEORGE TOWN: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei hanya mengambil masa 35 minit untuk mara ke separuh akhir kejohanan Masters Malaysia di Arena SPICE di sini.

Chong Wei yang belum benar-benar diuji sepanjang kejohanan ini, mudah menjinakkan pilihan ke-10, Ajay Jayaram dari India 21-16, 21-16.

Kemenangan bekas pemain nombor satu dunia itu membolehkannya menentang Tommy Sugiarto yang juga anak kepada juara dunia 1983, Icuk Sugiarto dari Indonesia, yang juga pilihan ketiga kejohanan ini.

Tommy sebelum itu menyingkirkan pemain China, Qiao Bin 21-6, 21-17 dalam satu lagi perlawanan suku akhir perseorangan lelaki.

Ditanya kemungkinan berdepan rakan senegara Iskandar Zulkarnain Zainuddin di final nanti, Chong Wei berkata walaupun masih awal untuk diperkatakan, senario sedemikian adalah petanda baik untuk perkembangan badminton negara.

Menurutnya, adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam kalangan pemain muda negara untuk menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika beraksi di kejohanan besar seperti Masters Malaysia yang berstatus Grand Prix Emas.

Sementara itu, dua beregu negara turut mengiringi Chong Wei ke separuh akhir iaitu gandingan profesional Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Goh V Shem/Tan Wee Kiong.

Kien Keat/Boon Heong mengharungi pertarungan rubber set sebelum mengesahkan kemenangan ke atas pasangan Jepun, Hiroyuki Saeki/Ryota Taohata 21-16, 20-22, 21-13 untuk berdepan lawan sukar dari Korea, Kim Gi Jung/Kim Sa Rang yang juga pilihan utama kejohanan.

Episod berbeza pula menimpa pasangan beregu utama negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang gagal mengekalkan rentak cemerlang pada perlawanan suku akhir menentang Takeshi Kamura/Keigo Sonoda dari Jepun.

Turut ke separuh akhir adalah dua pasangan beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang menempah pertemuan sesama sendiri dengan rakan sepelatih Tan Kian Meng/Lai Pei Jing. — Bernama

Advertisement