Anda di sini

680 penerima bantuan terjejas dinasihat buka akaun baharu

Advertisement

SIBU: Seramai 680 penerima bantuan bulanan kebajikan yang terjejas dengan pemberhentian kemudahan kredit pengajian manual dinasihatkan supaya segera membuka akaun bank baharu sama ada dengan perbankan CIMB atau RHB.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Sibu, Soon Kong Tiong berkata pemberhentian kemudahan itu oleh pihak bank itu berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu mengakibatkan penerima tidak dapat menerima bantuan untuk Januari.

“Ramai penerima bantuan menghubungi kami bertanya mengenai mengapa mereka tidak menerima bantuan bulan ini.

“Nasihat kami kepada mereka adalah supaya membuka akaun bank baharu dan menghantar salinan akaun baharu tersebut kepada kami untuk tindakan segera,” katanya di sini semalam.

Beliau yakin perkara tersebut diselesaikan pada Mac ini.

Tambahnya, penerima pernah dimaklumkan pada Disember tahun lalu membuka akuan baharu namum mereka lambat bertindak.

Beberapa penerima juga tidak dapat dihubungi sama ada disebabkan pertukaran alamat tempat tinggal atau nombor telefon.

Soon memberitahu, terdapat perubahan terhadap jumlah tiga skim kebajikan tersebut mulai 1 Januari tahun ini.

Menurutnya, semakan dibuat berhubung kadar bantuan am di negeri ini dan kini RM200 kepada RM300 daripada RM150 kepada RM250 sebelum ini.

Bagi kedua-dua skim persekutuan, kerajaan negeri telah menambah sebanyak RM50.

Bagi bantuan orang kurang upaya fizikal (OKU), yang tidak berupaya bekerja kini RM250 daripada RM200 sebelum ini.

Advertisement