Anda di sini

Semangat juang tinggi

Advertisement

Oleh Harry Ilias//

 Atlet-atlet karate gigih menjalani latihan di Kuching semalam.

LATIHAN: Atlet-atlet karate gigih menjalani latihan di Kuching semalam.

KUCHING: Skuad karate SUKMA XVIII Sarawak menyasarkan dua pingat emas pada temasya yang akan dilangsungkan di Stadium Bandaraya Miri dari 19 hingga 21 Julai depan.

Skuad itu dibahagikan kepada dua kumpulan yang akan bertanding dalam dua kategori iaitu ‘Kata’ (16-21 tahun) dan ‘Kumite’ (18-21 tahun).

Kedua-dua skuad ini akan menyertai enam belas kategori yang dipertandingkan pada SUKMA nanti.

Ketua Jurulatih merangkap jurulatih ‘Kata’, Ngui Siou Fong berkata beliau optimis sasaran dua emas boleh dicapai sekiranya atlet-atletnya mengikut segala arahan semasa latihan.

Justeru itu, beliau berharap atlet-atlet karate berjuang dengan semangat tinggi serta memberi komitmen penuh sebagai tanda sokongan terhadap Sarawak yang akan menjadi tuan rumah SUKMA kali ini.

“Kita mempunyai seramai 18 atlet pada SUKMA kali ini dengan tiga daripada mereka pernah bersaing pada SUKMA lalu,” kata jurulatih Kumite, Jarvis Julian.

Menurutnya, pendedahan atlet-atlet tertumpu kepada Kejohanan Pra-SUKMA yang akan berlangsung pada 16 hingga 19 Mac depan di Miri.

“Pra-Sukma bertujuan mengukur tahap pencapaian atlet-atlet kerana ini merupakan kejohanan peringkat kebangsaan dan semua negeri turut serta bertanding di Miri nanti,” tambahnya.

Beliau turut memuji semangat atlet-atlet semasa latihan dalam dua sesi sehari setiap Isnin hingga Jumaat. Latihan sebelah pagi lebih tertumpu meningkatkan kecergasan manakala sesi petang lebih kepada skil dan teknik. Selain itu, atlet-atlet juga didedahkan dengan kelas nutrisi selama sejam setiap hari Jumaat.

Menurut Jarvis, latihan intensif akan dimulakan pada bulan depan dengan memfokuskan kepada memantapkan skil dan teknik atlet-atlet.

“Sebenarnya kita telah memulakan latihan sejak pertengahan Jun tahun lalu tetapi memandangkan kita tiada pendedahan perlawanan dengan skuad dari luar menyukarkan untuk menilai tahap pencapaian dan kecergasan atlet-atlet,” katanya.

Menurutnya, beliau membuat perancangan membawa skuad itu menyertai perlawanan persahabatan dengan negeri-negeri lain bagi menilai tahap pencapaian semua atlet.

 

Advertisement