Anda di sini

STB, Hong Kong Airlines memeterai perjanjian

Advertisement

Ia bakal menyaksikan penerbangan terus Hong Kong-Kuching pertama dijangka pada 26 April 2016

 Ik Pahon (tiga kiri) dan Burke bersalaman selepas menandatangani dokumen perjanjian sambil disaksikan Abang Johari (lima kiri). Turut kelihatan (dari kiri) Sallauddin, Gramong dan Talib.

TERMETERAI SUDAH: Ik Pahon (tiga kiri) dan Burke bersalaman selepas menandatangani dokumen perjanjian sambil disaksikan Abang Johari (lima kiri). Turut kelihatan (dari kiri) Sallauddin, Gramong dan Talib.

HONG KONG: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Hong Kong Airlines memeterai perjanjian yang bakal menyaksikan penerbangan terus dari Hong Kong ke Kuching pertama dijangka pada 26 April tahun ini.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB Datu Ik Pahon Joyik dan Timbalan Pengurus Besar Komersial Hong Kong Airlines Michael Burke dalam satu majlis diadakan di ibu pejabat syarikat penerbangan itu yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong di sini, semalam.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, berkata Kuching akan menjadi pasaran baharu buat syarikat penerbangan tersebut.

Ujarnya, laluan penerbangan baharu itu akan memperkukuhkan lagi rangkaian perniagaan antara Hong Kong dan Kuching, selain mempromosikan industri pelancongan.

“Ekopelancongan tarikan utama kami (Sarawak). Aspek penting mengenai penerbangan terus ini ialah potensi pembangunan.

“Hong Kong merupakan hab (perniagaan) bagi Asia Timur manakala Kuching yang terletak di Borneo, meliputi Sarawak, Sabah dan Kalimantan, adalah pasaran baharu untuk anda (Hong Kong Airlines),” katanya.

Abang Johari berkata syarikat penerbangan itu juga boleh menceburi industri MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) memandangkan Sarawak akan menghoskan Persidangan dan Kongres Antarabangsa Asia pada November tahun ini.

Tambah Abang Johari, kementeriannya mengharapkan kerjasama selanjutnya dengan Hong Kong Airlines dalam masa terdekat.

Sementara itu, Burke menyifatkan bahawa majlis itu sebagai satu ‘majlis positif’ buat syarikat penerbangan tersebut dan gembira kerana perjanjian akhirnya termeterai selepas beberapa siri rundingan sejak 2013.

Walaupun hanya dua penerbangan dari Hong Kong ke Kuching dan sebaliknya dalam tempoh seminggu, beliau berkata syarikat penerbangan itu sebagai permulaan mahu mewujudkan perkhidmatan.

“Sarawak mempunyai potensi, tidak hanya dalam pelancongan tetapi perindustrian.

“Kami telah melihat bandar raya itu dan kami tahu apa yang boleh ditawarkan (kepada kami).

“Wujud permintaan gabungan yang baik untuk perniagaan dan percutian,” ujar Burke.

Beliau menegaskan bahawa Hong Kong Airlines akan menyambungkan penumpang dari banyak pasaran berbeza ke Kuching bermula lewat April ini.

Ketika ditemui pemberita, Burke berterima kasih atas sokongan daripada semua pihak yang terlibat dalam perjanjian itu dan yakin Hong Kong Airlines akan memberi perkhidmatan lebih masa.

“Kuching akan membuktikannya sebagai detinasi popular. Kami akan menerbangkan penumpang menggunakan pesawat A220 dengan lapan tempat duduk kelas perniagaan dan 144 tempat duduk kelas ekonomi,” jelasnya.

Tambahnya, syarikat penyerbangan itu akan meningkatkan kapasiti semasa tempoh puncak dengan menerbangkan pesawat yang menawarkan 24 tempat duduk kelas perniagaan dan 259 tempat duduk kelas ekonomi.

Beliau juga percaya Kuching menjadi pasaran yang pantas berkembang di wilayah itu kerana banyak dapat ditawarkan iaitu produk pelancongan dan peluang-peluang perniagaan.

“Sebab itulah kami akan menawarkan penerbangan dengan kelas perniagaan.

“Kami dapat membawa pelanggang dari seluruh dunia datang ke Kuching,” katanya sambil menambah, penerbangan Hong Kong ke Kuching dan sebaliknya mengambil masa selama empat jam.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Datuk Gramong Juna, Pengurus Besar Malaysia Airport Holding Bhd Mohamed Sallauddin Mohamed Shah dan Pengarah Tourism Malaysia Hong Kong Norshamsida Abdul Rahman.

Advertisement