Anda di sini

RM3 juta diperuntukkan

Advertisement
 Lee (barisan kedua, tujuh kanan) berbangga dengan pencapaian pasukan Miri (jersi putih) yang mewakili Sarawak ke pusingan kedua kempen Liga Bola Sepak Rakyat 2015-2016.

BANGGA: Lee (barisan kedua, tujuh kanan) berbangga dengan pencapaian pasukan Miri (jersi putih) yang mewakili Sarawak ke pusingan kedua kempen Liga Bola Sepak Rakyat 2015-2016.

Menaik taraf kemudahan sukan venue SUKMA XVIII Sarawak 2016

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

MIRI: Sejumlah RM3 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan sukan termasuk menaik taraf Stadium Tertutup Miri yang bakal menjadi venue Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) Sarawak 2016.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata Miri akan menjadi venue untuk tiga acara iaitu sepak takraw, perahu layar dan karate.

“Kerja-kerja menaik taraf kemudahan Stadium Tertutup Miri berlangsung pada Februari depan kerana ia akan menjadi lokasi tetap acara sepak takraw dan karate,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Bagi acara perahu layar, pihaknya juga membina ‘platform’ di pantai Luak Esplaned dalam masa terdekat sekali gus menjadi pusat pembangunan sukan perahu layar di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, Lee juga berkata Stadium Miri yang menjadi venue kempen Liga Bola Sepak Rakyat 2016 ketika ini turut dinaik taraf.

“Bandaraya Miri kini pesat dan padat dengan populasi penduduk justeru wajar kita menaik taraf kemudahan sukan di sini termasuk Stadium Miri,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, pihak swasta turut terlibat membina kemudahan sukan terutamanya di kawasan perumahan atau bandar baharu di sini.

“Contohnya di Desa Senadin dan Permyjaya kini padat dengan populasi penduduk, kita amat memuji syarikat swasta yang mengambil inisiatif membina kemudahan sukan untuk rakyat,” jelasnya.

Terdahulu itu, beliau melakukan sepak mula bagi penutupan kempen Liga Bola Sepak Rakyat 2015-2016 bagi Zon Borneo 2 yang menyaksikan Miri melawan Mukah di Stadium Miri semalam.

Kuching dan Miri masing- masing akan mewakili Sarawak ke pusingan kedua selepas kedua-dua pasukan menjuarai Kumpulan A dan B.

Pada peringkat seterusnya, Miri diletakkan dalam kumpulan Zon Timur yang menyaksikan penyertaan Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak (Miri dan Kuching).

“Pertandingan itu berlangsung selama tiga bulan dan kita amat berbangga Miri dapat melayakkan diri ke peringkat seterusnya dan bakal bersaing dengan pasukan- pasukan dari kumpulan Zon Utara,” katanya.

Lee berkata, kerajaan amat menyokong kejohanan sedemikian sebagai usaha mengasah dan mencari bakat pemain-pemain bola sepak tempatan.

 

Advertisement