Anda di sini

Sejarah kewujudan pentadbiran dua kerajaan dikaji

Advertisement

Oleh Mohd Shafik Ahmad//

 

KUCHING: Kementerian Pelancongan Sarawak menyalurkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM25,000 kepada Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) untuk membantu melaksanakan penyelidikan sejarah pentadbiran kerajaan Banting, Lingga dan kerajaan Negeri Saribas.

Menterinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata kajian itu dibuat bagi mengkaji sejarah kewujudan dua kerajaan itu pada tahun 1600 dan 1450.

Jelasnya kerajaan Banting sebelum ini pernah ditulis Robert Pringle dalam bukunya ‘Rajah and Rebel: The Iban Of Sarawak Under Brooke Rule, 1841-1941’.

Sementara Kerajaan Negeri Saribas pula terdapat dalam Manuskrip Syair Tarsilah Cereta Abang Gudam dan Temenggung Qadir, Negeri Saribas.

Kedua-dua rujukan menyentuh tentang kewujudan masyarakat Melayu yang menjalankan pemerintahan serta kegiatan ekonomi sebelum beralih ke era pemerintahan Raja Putih, James Brooke.

Abang Johari berharap kajian tersebut dapat dijadikan sebagai dokumen sejarah negeri Sarawak serta menjadi asas rujukan untuk kajian terperinci pada masa akan datang.

“Menerusi pendekatan ini, ia akan diserah kepada ahli akademik dan selepas itu kita akan bukukan dalam satu dokumen yang boleh diberi kepada generasi muda.

“Ini kerana mereka perlu tahu sejarah di negeri ini yang mempunyai kerajaan lain sebelum kehadiran pemerintah Brooke,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian geran MRP kepada Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak  dan Persatuan Warga Islam Saribas (PEWARIS) di pejabatnya di Wisma Sultan Tengah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Abang Johari berkata sekurang-kurangnya rujukan asas tamadun negeri Sarawak dapat diketahui umum selepas kajian ini disiapkan.

“Kita disatukan di atas satu tamadun ketika itu, oleh itu kita perlu tahu asal usul kerajaan terawal untuk dicatatkan dalam sejarah negeri,” katanya.

Advertisement