Anda di sini

Inisiatif kembang tinju disambut baik

Advertisement

Oleh Harry Ilias//

 Rahman (tiga kanan) menyerahkan sarung tangan kepada Judah sambil disaksikan yang lain semasa perasmian kelab dan sesi klinik tinju di SMK Hajjah Laila Taib, semalam.

INISIATIF BAIK: Rahman (tiga kanan) menyerahkan sarung tangan kepada Judah sambil disaksikan yang lain semasa perasmian kelab dan sesi klinik tinju di SMK Hajjah Laila Taib, semalam.

KUCHING: Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Datuk Rahman Lariwoo memuji inisiatif pihak pengurusan SMK Hajjah Laila Taib, Asajaya menubuhkan kelab tinju untuk pelajar sekolah berkenaan.

Jelasnya, langkah sekolah itu amat bertepatan dengan visi SABA untuk mengembangkan sukan tinju selain melahirkan lebih ramai petinju berbakat di negeri ini.

“Kita menyambut baik penubuhan kelab tinju ini kerana ia akan membantu program pembangunan yang telah dirancang oleh persatuan.

“Penubuhan kelab ini sangat penting kerana saya percaya ramai pelajar sekolah

mempunyai potensi besar dalam sukan tinju dan mereka perlu diketengahkan.

“Bagi pihak SABA, kita akan membantu dari aspek kepakaran dan kejurulatihan agar sekolah ini dapat melahirkan lebih ramai petinju baharu di Sarawak,” katanya semasa merasmikan pembukaan kelab dan sesi klinik di sekolah berkenaan semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan pelajar sekolah berkenaan kerana memberikan sambutan hangat terhadap klinik yang disediakan.

Melalui kerjasama itu, SABA akan menghantar jurulatih mereka bagi melatih guru di sekolah tersebut.

Tambahnya, kerjasama itu tidak terhad di sekolah itu sahaja dan akan diperluaskan ke sekolah di seluruh bahagian negeri.

“Kita akan membantu sekolah-sekolah di bahagian lain menubuhkan kelab mereka sendiri,” katanya sambil menambah sekolah yang berminat boleh menghubungi Setiausaha SABA, Azli Karim menerusi talian 019-8211975.

“Saya berharap pihak Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dan Jabatan Pendidikan Negeri turut membantu kita melaksanakan program ini kerana ia sangat baik untuk pembangunan jangka masa panjang sukan tinju.”

Jurulatih tinju SUKMA XVIII Sarawak, Fred Mandagi dan Wilbur Andogan turut hadir menunjukkan demonstrasi tinju kepada pelajar sekolah itu.

Hadir sama Pengetua SMK Hajjah Laila Taib, Judah Ahmad.

Advertisement