Anda di sini

Wanita SPDP dinasihati kerap turun padang dekati rakyat

Advertisement

MARUDI: Ahli Pergerakan Wanita SPDP dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain diingat supaya kerap turun padang mendekati peringkat akar umbi bagi mengetahui masalah, isu dan keperluan rakyat.

Pada masa sama, menurut Ketua Pergerakan Wanita SPDP Datuk Chiew Yen Chew, ia turut membantu menyemai semangat 1Malaysia yang menjadi konsep utama parti komponen dalam BN.

“Lebih-lebih lagi SPDP bersama dua parti iaitu SUPP dan PRS bersedia dengan prinsip ‘Merger of Minds’ dan harus memain peranan penting di Sarawak, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” tambah beliau.

Chiew memberitahu, dalam SPDP itu sendiri, beliau mahu ahli wanitanya bergerak lebih giat bagi membantu jentera parti dan calon BN memenangi semua kerusi ditandingi pada PRN akan datang.

“Bagi kerusi Marudi, saya mahu Wanita SPDP bekerja keras membantu bakal calon kita, Datu Dr Penguang Manggil.

“Beliau juga bekas Setiausaha Tetap di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti sekali gus memastikan kemenangan BN di Marudi,” tambahnya.

Chiew memberitahu demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin SPDP Bersama Rakyat di Sungai Entulang, Bakong baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Ahli Parlimen Mas Gading merangkap Setiausaha Agung SPDP Anthony Nogeh Gumbek, Ketua Pemuda SPDP Kaunselor Robert Ayu dan bakal calon SPDP Marudi Datu Dr Penguang Manggil.

Sementara itu, Pengerusi SPDP Tinjar Tuai Rumah Mokshin Radin dari Sungai Sebatang Bok berkata Dr Penguang yang merupakan anak tempatan dan berasal dari Sungai Entulang, adalah calon pilihan paling tepat yang diharap dapat membawa perubahan dan meneruskan pembangunan di konstituensi Marudi kelak.

 

Advertisement