Anda di sini

Projek RMK10 negeri hampir siap

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus//

 Abang Johari (tiga kiri) semasa bercakap kepada pemberita di Sibu, semalam.

SIDANG MEDIA: Abang Johari (tiga kiri) semasa bercakap kepada pemberita di Sibu, semalam.

SIBU: Projek kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) di negeri ini hampir 100 peratus siap dan hanya projek kerajaan pusat sahaja mengalami kelewatan tetapi dalam jumlah sedikit.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, projek kerajaan persekutuan yang terjejas turut dimaklum kepada penduduk setempat oleh kerajaan negeri.

“Masalah tersebut tidak membimbangkan dan kerajaan turut mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan projek berkenaan berjalan lancar,” katanya pada sidang media sempena Program Sejiwa Senada 2016 di Kompleks Islam Sibu di sini, semalam.

Tema program itu pada kali ini ialah ‘Kerajaan Bersama Rakyat’ anjuran Kerajaan Negeri Sarawak.

Turut hadir Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pelancongan Datuk Gramong Juna, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata kejayaan melaksanakan projek di bawah RMK10 menunjukkan kegigihan dan kesungguhan bekas Ketua Menteri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Semua itu untuk rakyat. Selain itu, Adenan turut melakukan pelbagai polisi baharu dan melaksanakan pelbagai peruntukan pembangunan kepada negeri ini demi kesejahteraan dan keperluan rakyat.

“Apa yang menarik, negeri ini menjadi sebuah negeri bebas tol dan itulah yang mengagumkan.

“Kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai projek dan pembangunan selain mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di beberapa bahagian di negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari yang merupakan menteri bertanggungjawab untuk Program Sejiwa Senada 2016 memberitahu bahawa program itu merupakan salah satu inisiatif turun padang perkhidmatan awam negeri dan persekutuan yang turut disertai badan berkanun serta syarikat swasta.

Katanya program itu akan diadakan di Dataran Bandar Sibu Fasa Dua selama tiga hari dan perasmiannya pada 16 Januari ini (esok) akan disempurna Adenan, jam 10.30 pagi.

Abang Johari berkata sebanyak 172 agensi akan menyertai pameran dengan 216 gerai akan didirikan termasuk pameran, Larian Sejiwa Senada, program Walk-A-Mile, gerai jualan, pentas rakyat, persembahan hiburan, uji bakat Bintang Kecil dan Bintang P. Ramlee, seminar, ceramah, Sibu Kitchen, autoshow, panjat dinding, e-Peraduan, Miss Cheongsam dan Ratu Sejiwa Senada.

Beliau turut memuji inisiatif penduduk Sibu yang mampu merangka pelbagai program dan menunjukkan kreativiti bagi menjayakan program ini di sini.

“Program seminar dan ceramah untuk ketua masyarakat dan ketua kaum, wanita serta belia akan diadakan pada hari kedua program dari jam 2 hingga 5 petang di Dewan Lakis dan Hotel RH,” jelasnya.

Beliau berkata selepas di Sibu, Program Sejiwa Senada 2016 akan diadakan di Sarikei pada 19-21 Februari di Kompleks Sukan Sarikei diikuti Saratok (26-28 Februari) di Dataran Saratok, Kapit (4-6 Mac) di Dewan Suarah Kapit dan lokasi terakhir ialah di Mukah (18-20 Mac) di padang letak kereta Pasar Lama Mukah.

Jelasnya, program itu akan menjelajah ke enam lokasi di Sarawak dan penganjuran pertamanya adalah di Miri pada 8 hingga 10 Januari yang lalu di Padang Majlis Bandaraya Miri.

“Program ini diyakini akan memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan secara langsung daripada kerajaan selain mendapatkan pelbagai maklumat dan pengetahuan baharu mengenai inisiatif transformasi pembangunan sosioekonomi terkini yang sedang rancak dirancang dan dilaksnakan kerajaan,” tambahnya.

Majlis penutupan Program Sejiwa Senada 2016 akan disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh pada 17 Januari jam 8 malam.

 

Advertisement