Anda di sini

Tiga cedera ditembak dan ditetak

Advertisement

Dua ‘Datuk’ didatangi dua suspek lelaki ketika sedang bersarapan pagi

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki cedera dalam kejadian tembak dan tetak di sebuah gerai makan di Jalan Empat, Chan Sow Lin, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi semalam, dua ahli perniagaan bergelar Datuk sedang bersarapan pagi di gerai itu apabila didatangi dua suspek lelaki yang secara tiba-tiba menyerang salah seorang daripada ahli perniagaan itu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata dua suspek terbabit mengeluarkan dua bilah parang dan salah seorang suspek menetak mangsa di bahagian belakang dan muka, manakala rakan mangsa sempat melarikan diri.

“Pengawal peribadi yang nampak kejadian itu terus mengeluarkan pistol jenis Glock 99 dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kedua-dua suspek.

“Tembakan pengawal itu mengenai salah seorang suspek, seorang lagi  rakannya melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Toyota Hilux warna emas, yang di dalamnya terdapat seorang lagi suspek lelaki,” katanya kepada pemberita. di tempat kejadian.

Chong berkata suspek yang terkena tembakan rebah di tepi jalan berhampiran dengan gerai makan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapatkan rawatan serta diletakkan di bawah kawalan polis.

“Dalam kejadian ini juga seorang pekerja lelaki gerai makan berkenaan turut terkena tembakan di bahagian kaki dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia manakala mangsa (ahli perniagaan) dihantar di sebuah hospital di Bangsar untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata pengawal peribadi kepada mangsa tidak cedera dan mempunyai surat kebenaran menggunakan senjata.

Katanya, polis juga turut menemui tujuh kelongsong peluru SME 9MM 1.14 dan satu anak peluru dan merampas dua bilah parang berukuran 10 inci serta sehelai T-Shirt.

Chong berkata mangsa dan pengawal peribadinya langsung tidak mengenali suspek yang menyerangnya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Senjata Api manakala motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya. — Bernama

Advertisement