Anda di sini

‘Repco Low’ didapati bersalah mengelirukan pasaran saham

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Eksekutif Repco Holdings Bhd semalam didapati bersalah atas pertuduhan cuba mengelirukan pasaran saham mengikut Akta Industri Sekuriti, 19 tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu terhadap Low Thiam Hock, 54, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah menetapkan 19 Jan depan untuk mendengar rayuan dan menjatuhkan hukuman selepas membenarkan permohonan peguam Edmund Bon yang mewakili tertuduh supaya diberikan masa untuk membuat rayuan lengkap bagi meringankan hukuman.

Mat Ghani juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dari

Suruhanjaya Sekuriti Ros Mawar Rozain supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan mengekalkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.

Hakim dalam keputusannya berkata pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian.

“Selepas mahkamah membuat penilaian maksimum, meneliti keterangan tertuduh dan saksi, pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 84(1) Akta Industri Sekuriti 1983,” katanya.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 25 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan termasuk pakar pasaran saham.

Pada 1999, Low, yang lebih dikenali sebagai Repco Low dituduh di Mahkamah Sesyen kerana didakwa mengarahkan seorang wakil Sime Securities Sdn Bhd untuk membeli saham Repco Holdings dengan menyerap apa-apa harga tawaran saham itu yang ditawarkan oleh penjual saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa boleh menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran.

Low dari Kota Kinabalu, Sabah, didakwa melakukan kesalahan itu di Sime Securities, Tingkat 21, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, antara jam 11 pagi dan 5 petang, 3 Dis 1997.

Pertuduhan mengikut Seksyen 84(1) Akta Industri Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 88(b) akta sama itu memperuntukkan hukuman minimum denda RM1 juta dan penjara sehingga 10 tahun.

Pada 14 Nov 2006, Mahkamah Sesyen melepaskan Low daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pertuduhan itu adalah cacat.

Pada 15 Okt 2010, Mahkamah Tinggi menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan pembebasan Low, bagaimanapun pada 28 Feb 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Low membela diri terhadap pertuduhan cuba mengelirukan pasaran saham itu.

Panel tiga anggota yang ketika itu diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2006 yang membebaskannya tanpa dipanggil membela diri. — Bernama

Advertisement