Anda di sini

Kes saman fitnah Najib disaran guna proses mediasi

Advertisement

Najib dan Ling Liong Sik setuju melalui proses mediasi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam mencadangkan supaya kes saman fitnah Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri, diselesaikan melalui proses mediasi.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib, memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk John Louis O’hara membuat cadangan itu selepas kes berkenaan disebut dalam kamarnya semalam.

Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk melalui proses mediasi itu. Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk proses mediasi itu yang akan diadakan di pusat mediasi di sini.

Mohd Hafarizam berkata mahkamah menetapkan 18 Feb depan untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan proses mediasi itu.

“Sekiranya terdapat permohonan interlokutari yang ingin dikemukakan oleh plaintif (Najib), mahkamah mengarahkan supaya permohonan itu difailkan dalam masa 14 hari bermula hari ini (semalam),” katanya sambil menambah bahawa pihaknya akan memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan Dr Ling hari ini.

Pada 27 Okt tahun lepas, Najib menyaman Dr Ling, selaku defendan, antara lain memohon perintah supaya Dr Ling menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh plaintif (Najib).

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya, daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Najib berkata Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di sini, yang disiarkan dalam portal berita pada 3 Okt tahun lepas menerusi satu artikel.

Perdana Menteri mendakwa defendan telah menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah dengan niat jahat supaya plaintif berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan kebencian dan perkataan-perkataan berbaur fitnah itu adalah tuduhan yang tidak berasas dan tanpa apa-apa asas atau bukti. — Bernama

Advertisement