Anda di sini

Anggota Majlis PBT diingat berkhidmat untuk masyarakat, bukan cari populariti

Advertisement

MELAKA: Anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, diingat-kan supaya mengutamakan keberkesanan perkhidmatan kepada masyarakat dan bukan sibuk mencari populariti untuk kepentingan diri sendiri.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron mene-gaskan anggota majlis PBT bukanlah jawatan untuk se-seorang menjadi popular dengan cepat, sebaliknya mereka  memainkan peranan penting mendengar suara dan memberi pembelaan sewajarnya kepada masyarakat dalam kawasan PBT terbabit.

“Seorang anggota majlis (PBT) tidak boleh hanya hidup dengan populariti, mereka perlu mempunyai kaedah kerja berkesan. Pem-belaan terhadap masyarakat biarlah pembelaan itu memberi kebaikan kepada semua pihak dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.

“Anggota Majlis PBT tidak boleh pandang ringan mengenai tugas dipikul, peranan mereka juga adalah untuk memikirkan undang-undang kecil di peringkat kerajaan tempatan,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Terima Pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Anggota Majlis PBT di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Seramai 105 anggota majlis PBT mengangkat sumpah membabitkan Majlis  Bandaraya Melaka Bersejarah 27 orang, Majlis Perbandaran Alor Gajah 26, Majlis Perbandaran Jasin 27 dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya 25 orang.

Empat anggota majlis PBT yang mengangkat sumpah semalam, merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), yang masing-masing mewakili setiap empat PBT di Melaka.

Dalam pada itu, Idris berkata setiap anggota majlis yang mewakili parti politik dikehendaki mendaftar sekurang-kurangnya 100 pemilih baharu sepanjang perkhidmatan mereka tahun ini.

“Langkah ini akan menjadi satu indeks prestasi kepada mereka (anggota majlis) bagi tujuan penyambungan khidmat sebagai anggota majlis pada masa akan datang,” katanya. — Bernama

Advertisement