Anda di sini

Sarawak disaran haram vape di tempat awam

Advertisement

Dr Sim percaya penggunaan vape adalah lebih berbahaya kesannya berbanding rokok biasa

// Oleh Henrietta Liza //

 Dr Sim (empat kanan) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada salah seorang penerima daripada SJK (C) Chung Hua No. 5 semalam.

BANTUAN: Dr Sim (empat kanan) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada salah seorang penerima daripada SJK (C) Chung Hua No. 5 semalam.

KUCHING:Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian mencadangkan agar Sarawak mengharamkan penggunaan vape di tempat awam di negeri ini.

Beliau berkata demikian kerana percaya penggunaan vape adalah lebih berbahaya kesannya berbanding rokok biasa.

“Menghisap vape adalah lebih berbahaya kerana kita tidak tahu apa isi kandungan cecair yang dihisap.

“Kadangkala isi kandungan itu boleh diubah suai dan dimasukkan cecair dadah untuk tujuan mengkhayalkan dan ia memberi risiko yang lebih teruk kepada kesihatan seseorang.

“Kita sebenarnya bukan menentang apa yang mereka buat tetapi kita perlu mengambil peduli akan masyarakat sekeliling juga.

“Kalau ramai antara rakyat kita yang jatuh sakit ini akan melibatkan kos yang lebih banyak untuk mengubati,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Beg Sekolah di SJK (C) Chung Hua No. 5 itu di sini, semalam.

Seramai 50 murid sekolah terbabit menerima bantuan beg sekolah manakala 50 murid lagi di sekolah yang sama menerima bantuan alat tulis.

Menyentuh isu pendidikan, beliau menyuarakan rasa gembira apabila statistik menunjukkan 120 murid Bumiputera sudah mengikuti pembelajaran di tahun satu di enam sekolah Cina di sini.

“Gunakan peluang yang ada untuk mendapat masa depan yang lebih cerah dan yang lebih baik,” tambahnya.

Menurut Dr Sim, pada zaman dahulu mereka yang ingin bersekolah mengalami kesukaran untuk mendapatkan pendidikan tetapi sebaliknya anak-anak hari ini tidak begitu menghargainya.

Kerajaan hari ini turut menawarkan banyak biasiswa untuk meneruskan pengajian.

Melalui pendidikan anak-anak di sekolah rendah akan membina karektor dan keperibadian yang tersendiri serta berupaya berfikir sendiri bagi membuat keputusan.

Ujarnya, kita tidak risau mereka datang daripada keluarga yang miskin tetapi ketakutan kita sekarang ialah keengganan mereka untuk belajar.

“Anak sekarang kita merayu mereka untuk belajar, zaman dahulu kalau kita tidak belajar ibu bapa akan merotan anak mereka dan banyak yang telah berjaya dan kadangkala ada ibu bapa yang memberi pemberian untuk menggalakkan mereka belajar.

“Kita tidak mahu persekolahan kanak-kanak di bawah 12 tahun yang hampir semuanya percuma di persia-siakan,” jelasnya.

Beliau turut bertegas bahawa untuk menguruskan sebuah sekolah sememangnya berkos tinggi dan pihaknya mahu lebih autonomi bagi sistem pendidikan bagi sekolah Cina supaya pembiayaan peruntukan dapat diagihkan sendiri oleh kerajaan negeri.

Advertisement