Anda di sini

Jinia berlinang air mata kenang nasib suami

Advertisement

Suaminya, Bernabas Ambang lumpuh sejak hampir setahun selepas terlibat kemalangan

// Oleh Mastura Ismail //

 Jinia mencium suaminya yang lumpuh dan terlantar di kediamannya di Kampung Berawan, Batu Lapan, Jalan Kubong Limbang semalam.

KASIH ISTERI: Jinia mencium suaminya yang lumpuh dan terlantar di kediamannya di Kampung Berawan, Batu Lapan, Jalan Kubong Limbang semalam.

LIMBANG: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitulah keadaan dihadapi seorang isteri, Jinia Garinging, 49, yang berlinang air mata apabila menyaksikan tubuh suami tercinta lumpuh dan terbaring di atas katil sejak hampir setahun.

Semuanya bermula dengan kemalangan berlaku di Sengkurung, Brunei Darussalam pada 29 Januari 2015 menyebabkan suaminya Bernabas Ambang, 52, mengalami pendarahan otak menyebabkannya lumpuh dan terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Brunei selama sebulan.

Jinia berkata, selepas keluar dari Hospital Brunei suaminya turut mendapat rawatan di Miri dan Hospital Limbang.

“Akibat kemalangan itu bermulalah memori pahit yang tidak mampu kami sekeluarga tolak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Berawan, Batu Lapan, Jalan Kubong Limbang, semalam.

Jelas Jinia, sebelum sakit suaminya bekerja sebagai pembantu koperasi di SK Kuala Penganan.

Bagaimanapun, selepas terlantar sakit Jinia kini menyambung tugas sebagai ketua keluarga menjaga makan minum dan kebajikan suami yang lumpuh selain menyara anak-anaknya.

“Suami tidak mampu bangun dan terpaksa memakai lampin pakai buang. Dia juga perlu minum susu setiap tiga jam menggunakan saluran tiub yang ditebuk ke dalam badannya,” katanya sedih.

Jinia memberitahu, mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk susu, lampin pakai buang dan barangan lain bagi perubatan suaminya.

Lebih menyayat hati, dia juga mendedahkan terpaksa menanggung hutang dengan Hospital Brunei sejumlah 6,468 dolar Brunei untuk membiayai kos rawatan suaminya ketika dirawat di hospital berkenaan awal tahun lalu.

“Hutang itu perlu dilunaskan dalam tempoh tiga bulan sehingga Mac ini,” ujarnya.

Sebelum ini, keseluruhan kos rawatan bagi suaminya ketika dirawat di ICU Brunei mencecah $14,788 yang dilunaskan peringkat demi peringkat kerana kesempitan hidup.

“Semua kos rawatan suami dibayar menggunakan gaji bulanan suami secara ansuran kerana tiada pendapatan lain,” katanya.

Jinia menjelaskan, penderitaan demi penderitaan ditanggungnya sehari selepas dia dan suaminya kemalangan jalan raya apabila ayah tercinta juga meninggal dunia.

“Saya tidak dapat menjenguk ayah meninggal dunia di Limbang kerana terpaksa menemani suami dirawat di ICU Brunei,” katanya.

Jinia memberitahu, akibat penderitaan itu dia dan keluarga memohon bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan sebelum ini.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak atas alasan suaminya masih mempunyai gaji bulanan.

“Saya juga difahamkan gaji suami saya akan dipotong dan diganti dengan skim pencen awal kerana ketidakupayaan dia bekerja,” tambahnya.

Meskipun ditimpa musibah, dia tidak berputus asa dan memohon bantuan daripada PERKESO bagi meringankan penderitaan mereka.

Jelasnya, PERKESO ada memberi bantuan berupa lampin pakai buang, kerusi roda dan tilam.

“Selain itu, pemimpin tempatan melalui Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail turut menyumbang sedikit bantuan kewangan untuk membantu kami sekeluarga,” katanya.

Beliau berharap kerajaan melalui agensi berkaitan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta menyalurkan bantuan bagi meringankan penderitaan mereka.

Advertisement