Anda di sini

Kembalikan kepercayaan, BN bukti tunai janji

Advertisement

MIRI: Sudah tiba masanya rakyat Sarawak mengembalikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) selepas beberapa dasar dilakukan kerajaan negeri yang dilihat menguntungkan rakyat.

Pemerhati Politik Wan Zain Syed Mohdzar berkata kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dilihat amat menyenangkan rakyat melalui beberapa dasar yang telah dilaksanakan.

“Di sini kita lihat bahawa Adenan Satem telah mengumumkan pelbagai kemudahan dan dasar yang keseluruhannya memberi manfaat kepada rakyat Sarawak,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata sebagai contoh kerajaan negeri telah mengumumkan bahawa Sarawak bebas daripada tol selagi rakyat memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk mentadbir kelak.

“ Sekarang  masa  tepat untuk rakyat Sarawak membalas segala jasa kerajaan dengan terus memberi sokongan kepada BN khasnya di bawah kepimpinan Adenan Satem,” jelasnya.

Beliau menambah, dengan pelaksanaan beberapa dasar dilihat banyak memberi keuntungan kepada rakyat, maka ramai yang meramalkan bahawa pilihan raya kali ini akan terus memihak kepada BN.

“Ia bukan bersifat gula-gula sementara tetapi segala berita gembira yang diumumkan kerajaan negeri sebelum ini adalah satu tanggungjawab kerajaan dan rakyat berhak mendapat apa yang mereka inginkan,” jelasnya.

Menurutnya, pemimpin nombor satu Sarawak itu lantang bersuara dan telah mencatat beberapa pencapaian cemerlang hanya dalam tempoh kurang dua tahun.

“Adenan telah bekerja keras untuk memperkukuh perpaduan, membela nasib rakyat serta melakukan beberapa perubahan yang telah membawa manfaat kepada rakyat di pelbagai peringkat,” jelasnya.

Sebagai contoh katanya, Adenan lebih bertegas dalam memohon tuntutan royalti sebanyak 20 peratus serta memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat untuk membangunkan Sarawak.

“Senario ini membuktikan beliau seorang yang mempunyai visi yang jelas untuk membangunkan Sarawak dan tidak mustahil pelan pembangunannya mendapat sokongan rakyat,” tegasnya.

Advertisement