Anda di sini

PBB Bengoh usaha pastikan kerusi Serembu milik PBB

Advertisement

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bengoh berusaha gigih memastikan kerusi baharu Serembu menjadi milik parti itu menerusi penubuhan jawatankuasa protem PBB Serembu.

Setiausahanya, Jeguk Ngamo berkata parti di peringkat cawangan bersetuju supaya ahli-ahli exco PBB Bengoh dari daerah Bau diserapkan dalam barisan jawatankuasa protem PBB Serembu.

Katanya, Pengerusi PBB Bengoh Datuk Seri Dr James Dawos Mamit bersetuju mengetuai jawatankuasa protem PBB Serembu dalam usaha menuntut Serembu untuk PBB.

“Pejabat urus setia bagi PBB Serembu terletak di Taman Indah Fasa 1, Persimpangan Buso daerah Bau mula beroperasi minggu depan.

“Manakala mesyuarat penuh pertama jawatankuasa protem PBB Serembu akan diadakan pada 9 Januari depan di salah sebuah restoran di Bau,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jeguk berkata program Jelajah PBB ke Serembu diadakan malam Khamis lalu sempena Ambang Tahun Baharu di Dewan Kampung Bijuray Mongag.

Pada program itu, Dawos selaku tetamu kehormat secara terbuka berkata kerusi Serembu akan ditandingi oleh calon PBB.

Dawos turut menggesa rakyat menyokong calon Barisan Nasional (BN) dari PBB untuk memastikan pembangunan berterusan di kawasan tersebut.

“Ini merupakan program Jelajah PBB kelapan di Serembu selepas Kampung Siniawan Baru, Serapok, Batu Sepit, Sungai Pinang, Kopit, Skio dan Padang Pan dan sambutannya amat menggalakkan,” kata Jeguk.

Pada program itu Dawos yang juga Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Ahli Parlimen Puncak Borneo mengumumkan peruntukan kepada gereja-gereja dalam kawasan parlimennya.

Peruntukan tersebut termasuklah RM200,000 bagi membina gereja Kampung Ledan Gumbang, RM100,000 bagi Gereja Katolik Blessed Sacrament di Bijuray Mongag dan RM50,000 bagi Gereja Seventh-Day Adventist Bijuray Mongag.

Sejumlah RM150,000 lagi diberikan untuk kerja-kerja menaik taraf Dewan Kampung Bijuray Mongag.

Advertisement