Anda di sini

60 pemeriksa meter SESCo dilatih asas seni pertahan diri

Advertisement

KUCHING: Seramai 60 kakitangan juruteknik pemeriksa meter SESCo kini dilatih dengan seni mempertahankan diri aikido dan taekwondo bagi mempertahankan diri dalam menghadapi cabaran kerja lebih-lebih lagi ketika memerangi gejala kecurian kuasa.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, latihan asas mempertahankan diri tersebut dilihat dapat membantu pasukan ini untuk melindungi diri terutama ketika berdepan dengan situasi sukar.

Sebagai contoh, jelas kenyataan itu, sekiranya pelanggan yang didapati bersalah mencuri kuasa dan bertindak ganas secara tiba-tiba, maka pasukan ini boleh bersedia dengan yakin dan penuh stamina bagi mengawal situasi seumpama itu.

Jurucakap SESCo berkata, latihan seumpama ini amat penting supaya pasukan pemeriksa meter dapat melindungi diri mereka sekiranya diserang ketika menjalankan tugas.

“Menyertai latihan bela diri ini bukanlah bertujuan untuk mengakibatkan kecederaan dan sebagainya kepada orang lain, tetapi sebagai perlindungan diri sekiranya mereka terpaksa berdepan bahaya dan tidak mempunyai pilihan lain.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan tahap keyakinan dalam diri setiap mereka,” katanya.

Difahamkan, kerugian yang dialami syarikat utiliti itu akibat kecurian kuasa dalam tempoh setahun ini menyaksikan penurunan di mana pada 2010, SESCo mengalami kerugian sebanyak RM140 juta berbanding RM34 juta dilaporkan sehingga November tahun ini.

SESCo dalam kenyataannya menyatakan akan terus giat berusaha untuk membanteras segala usaha untuk mencuri kuasa elektrik selain akan bekerja erat dengan agensi lain untuk tujuan sama.

“Aikido adalah seni bela diri dari Jepun yang tidak disifatkan dalam kategori ganas yang dicipta khas untuk melindungi diri, selain sering digunakan oleh banyak agensi penguatkuasaan di seluruh dunia termasuk pihak polis dan syarikat keselamatan.

“Manakala taekwondo pula berasal dari Korea yang mengajar pengamalnya untuk memfokuskan latihan bagi minda dan gerakan badan. Ia juga boleh membentuk disiplin yang kuat dalam diri pengamal,” tambah jurucakap itu.

Latihan aikido telah diketuai oleh Shihan Muhd Haneef Ali (6th Dan Level) dari Aikikai Ko Bu Kan Dojo.

Beliau juga merupakan Ketua Jawatankuasa Teknikal Aikikai Malaysia.

Manakala bagi taekwondo pula, ia diketuai oleh Abang Ahmad Zaini Abang Fauzan (5th Degree level) yang juga merupakan Presiden Persatuan Taekwondo Global Sarawak.

 

Advertisement