Anda di sini

RM25j baiki, naik taraf jalan parit

Advertisement

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah membelanjakan RM25 juta sejak awal tahun ini untuk membaiki dan menaik taraf jalan dan parit di Sibu.

Pengerusinya Datuk Tiong Thai King berkata, pihak majlis juga telah menerima banyak permintaan untuk menaik taraf dan membaiki jalan-jalan lain di sini.

“Untuk melaksanakan projek menaik taraf jalan dan parit, kita berharap orang ramai faham bahawa keutamaan diberikan kepada kawasan-kawasan rendah dan kerap banjir,” jelasnya pada mesyuarat bulanan akhir tahun, semalam.

Tiong berkata, MPS telah membelanjakan kira-kira RM3.24 juta untuk penyelenggaraan longkang dan jalan, manakala kira-kira RM1 juta telah dibelanjakan untuk lampu jalan dan kira-kira RM6.25 juta telah dibelanjakan bagi pengurusan sisa pepejal dan cecair.

“MPS berjanji untuk meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut kemampuan sumber,” ujarnya.

Walaupun menghadapi kekurangan geran pembangunan, beliau berkata, majlis terus berkhidmat kepada rakyat dengan menyediakan penyelenggaraan asas infrastruktur, kemudahan, landskap dan perkhidmatan perbandaran.

“Saya bangga untuk mengatakan bahawa ahli majlis dan kakitangan telah bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan bandar Sibu yang bersih, cantik, selamat dan mapan,” katanya.

Tiong berkata, MPS telah menjalankan pelbagai aktiviti tahun lepas termasuk Mosquito Magnet Pilot Project, menganjurkan 14 kempen kebersihan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berjaya mengumpul 13,964 kilogram bahan kitar semula melalui pengasingan sampah rumah di Pulau Li Hua, Taman Seduan, Bukit Lima/Jalan Belatok, Jalan Apollo dan Kolej Laila Taib.

“Sehingga 29 Disember tahun ini, pihak majlis telah mengutip RM36.991 juta pada cukai taksiran iaitu 94.27 peratus daripada jumlah hasil pada tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, Tiong berkata, pihaknya akan terus dengan penguatkuasaan ke atas masalah anjing liar berkeliaran, meletak kereta di tempat larangan dan masalah pembuangan sampah di merata tempat untuk memastikan Sibu sebuah bandar yang bersih dan teratur.

“Sehingga 29 Disember tahun ini, pihak majlis telah menangkap 693 ekor anjing liar, mengeluarkan 10,703 saman bagi kesalahan meletak kenderaan di tempat larangan dan mengeluarkan 2,299 kompaun bagi kesalah membuang sampah merata di kawasan pusat daerah perniagaan (Central Business District),” ujarnya.

Advertisement