Anda di sini

Penghormatan besar buat Sarawak

Advertisement
 Rahman (tiga kanan) merakamkan kenangan bersama Ketua-Ketua Delegasi Teknikal (KDT) SUKMA, jurulatih tinju Sarawak, Mohd Herman Musa (kiri) dan bekas jaguh tinju Sarawak, Sapok Biki (tiga kiri) semasa Kursus Jurulatih One Star AIBA di Pulau Pinang.

MARTABATKAN TINJU: Rahman (tiga kanan) merakamkan kenangan bersama Ketua-Ketua Delegasi Teknikal (KDT) SUKMA, jurulatih tinju Sarawak, Mohd Herman Musa (kiri) dan bekas jaguh tinju Sarawak, Sapok Biki (tiga kiri) semasa Kursus Jurulatih One Star AIBA di Pulau Pinang.

Rahman ikrar berikan yang terbaik selepas dilantik pengurus skuad tinju negara ke Sukan SEA 2017

KUCHING: Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Datuk Rahman Lariwoo melakar sejarah baharu selepas menjadi anak Sarawak pertama dilantik sebagai pengurus skuad tinju kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2017.

Menurut Rahman, pelantikan beliau diumumkan secara rasmi pada mesyuarat Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bertempat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Pulau Pinang, kelmarin.

“Syukur dan bangga kerana anak tempatan Sarawak diberi kepercayaan sebagai pengurus skuad kebangsaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

“Ia satu penghormatan besar untuk saya dan negeri Sarawak khususnya dan berjanji akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi untuk membawa sukan tinju negara ke mercu kejayaan.”

Rahman turut merakam setinggi penghargaan terhadap PTM dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas kepercayaan diberikan kepadanya.

Menurut beliau, misi utamanya ketika ini adalah membentuk sebuah skuad tinju yang mantap dan dapat memberi saingan kepada petinju negara lain.

Justeru, pihaknya sedang mengadakan perbincangan untuk mengambil jurulatih dari Kazakhstan bagi melatih petinju negara.

Katanya lagi, SUKMA XVIII di Sarawak akan digunakan sebagai platform bagi meninjau petinju-petinju yang berpotensi untuk diserap dalam skuad kebangsaan.

Sehubungan itu, Rahman menyeru petinju negeri agar mempamerkan aksi terbaik mereka pada SUKMA tahun depan agar berpeluang diserap dalam skuad kebangsaan.

“Ini peluang terbaik bagi petinju Sarawak beraksi di pentas antarabangsa.

Namun, mereka perlu membuktikan kemampuan pada SUKMA tahun depan,” tegas Rahman.

Acara tinju pada Sukan SEA 2017 akan berlangsung di Kuala Lumpur.

 

Advertisement