Anda di sini

MPS, pelbagai pihak memastikan Sibu selamat

Advertisement

Ambil pelbagai inisiatif, antaranya pemasangan 145 lampu jalan baharu yang menelan kos RM625,642

Oleh Florence Nervyn //

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sedang bekerjasama rapat dengan pihak polis, jabatan, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan Sibu adalah sebuah bandar yang selamat.

Pengerusinya Datuk Tiong Thai King berkata MPS telah mengambil pelbagai inisiatif bagi tujuan tersebut dan antaranya pemasangan 145 lampu jalan baharu pada tahun ini yang menelan kos RM625,642.

“MPS juga memantau lebih daripada 74 unit kamera litar tertutup (CCTV) di bawah program Pengawasan Bandar di daerah pusat perniagaan dengan pihak polis.

“Terdapat 16 lagi CCTV sedang dipasang di Jalan Khoo Peng Loong dan Jalan Channel dengan kos RM160,000.

“Seratus CCTV sedang dipasang di bawah Pusat Transformasi Bandar  (UTC) Sibu iaitu di tempat letak kereta bertingkat dan UTC Sibu,” jelasnya pada Mesyuarat Bulanan MPS, semalam.

Tiong berkata MPS juga telah memasang pembahagi jalan (bollards) untuk mengasingkan pejalan kaki daripada kenderaan bermotor dan memasang cermin selamat di lokasi yang strategik.

“Pihak majlis juga telah menerima RM744,750 daripada kerajaan pusat untuk inisiatif bandar selamat yang telah dibelanjakan untuk kawasan sekitar Bazar Sungai Merah,” katanya.

Mengenai UTC Sibu, Tiong berkata ia dijangka siap pada pertengahan Februari tahun depan untuk memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada orang ramai yang tinggal di kawasan wilayah tengah.

“UTC akan memberi perkhidmatan umum kerajaan, perkhidmatan kesihatan, keselamatan, pendidikan, latihan dan perkhidmatan pekerjaan, perkhidmatan kewangan, perniagaan dan pembangunan keusahawanan, perkhidmatan utiliti, pembangunan belia serta kebajikan dan pembangunan komuniti,” ujarnya.

Tiong berkata, UTC Sibu terletak di tingkat lima dan empat tempat letak kereta bertingkat Pasar Sentral Sibu dan lokasi dipilih kerana kedudukan yang strategik di tengah-tengah bandar.

“Pihak majlis sedar kekurangan tempat letak kenderaan ekoran UTC Sibu. Untuk jangka panjang, sebuah tempat letak kenderaan bertingkat dicadang untuk dibina.

“Majlis juga sedar kekurangan tempat letak kenderaan berikutan pengwujudan UTC Sibu. Untuk langkah jangka panjang, sebuah taman kereta bertingkat dicadang untuk dibina di tempat persinggahan bas di Jalan Maju.

“Perkara ini masih dalam cadangan dan di peringkat perancangan,” katanya.

Advertisement