Anda di sini

KFR mengintai tebusan

Advertisement

Penculik sentiasa ukur kekuatan pasukan keselamatan

KOTA KINABALU: Kegiatan kumpulan penculik yang menjalankan ‘Kidnapping For Ransom’ (KFR) perlu sentiasa dipantau khususnya di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kumpulan terbabit sentiasa mengukur kekuatan pasukan keselamatan di negeri ini.

Menurutnya, berkemungkinan juga pihak berkenaan mencari-cari peluang memandangkan buat masa sekarang mereka tidak mempunyai tebusan.

“Kalau kita leka hingga menyebabkan kekuatan kita menurun, sudah tentu mereka akan membuat cubaan untuk datang.

“Tambahan pula, tanpa tebusan mereka tentunya akan cuba mencari peluang untuk menceroboh.

“Sehubungan itu, arahan Perintah Berkurung penting untuk diteruskan di kawasan ESSZone,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini kelmarin.

Jalaluddin berkata, jika Perintah Berkurung tidak diteruskan, ia akan menyukarkan agensi-agensi di bawah Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Selain itu jelasnya, pelaksanaan Perintah Berkurung sebenarnya membuka peluang kepada golongan nelayan tempatan.

“Kita keluarkan permit kepada mereka untuk menangkap ikan dan pada masa sama kita dapat pantau aktiviti yang mereka jalankan.

“Golongan nelayan di kawasan berkenaan juga sering berhubung dengan pasukan keselamatan kerana mereka adalah mata dan telinga kita,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, seramai 152 individu ditahan kerana didapati melanggar peraturan Perintah Berkurung mengikut Seksyen 31 (2) Akta Polis 1967 (melanggar perintah berkurung) membabitkan sebanyak 34 fasa.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu dikenal pasti melanggar peraturan di kawasan yang ditetapkan berbanding 121 orang tahun lepas.

Katanya, Sandakan menjadi daerah tertinggi daripada jumlah tangkapan itu iaitu seramai 11 orang diikuti daerah Tawau lapan orang manakala Semporna dan Lahad Datu masing-masing sebanyak enam tangkapan.

Advertisement