Anda di sini

Piala EurAsia: Liang dilantik sebagai naib kapten

Advertisement

KUALA LUMPUR: Liang Wen Chong dari China dilantik sebagai naib kapten Team Asia bagi menghadapi kejohanan Piala EurAsia 2016 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Jan 2016 di Glenmarie Golf and Country Club.

Kapten Team Asia Jeev Milkha Singh dari India berkata beliau percaya Liang akan memberi sokongan padu kepadanya serta 12 anggota pasukan itu apabila mereka bertemu Team Europe yang diterajui Darren Clarke dalam kejohanan ala Piala Ryder itu.

Team Asia akan dibarisi Anirban Lahiri, S.S.P. Chawrasia, Thongchai Jaidee, Danny Chia, Byeonghun An, Shingo Katayama, Kiradech Aphibarnrat, K.T. Kim, Nicholas Fung, Jeunghun Wang, Prayad Marksaeng dan Wu Ashun.

Team Europe pula akan menampilkan Danny Willet, Ross Fisher, Victor Dubuisson, Chris Wood, Andy Sullivan, Matthew Fitzpatrick, Shane Lowry, Bernd Wiesberger, Soren Kjeldsen, Kristoffer Broberg, Ian Poulter dan Lee Westwood.

Sambil menjelaskan bahawa Liang terkenal kerana semangat juang yang tinggi serta tidak mudah mengaku kalah, Singh berharap kelebihan itu akan memberi kesan positif kepada Team Asia untuk mencapai sasarannya menjulang Piala EurAsia.

Liang adalah pemain China pertama yang dinobatkan sebagai juara Asian Tour Order of Merit pada 2007 serta menjuarai kejohanan Jelajah Asia sebanyak tiga kali.

Sementara itu, Liang berkata beliau berbesar hati kerana dilantik sebagai naib kapten Team Asia dan berazam untuk memberi sumbangan terbaik kepada pasukan itu.

Kedua-dua pasukan pasti akan berjuang habis-habisan untuk menjadi juara Piala Eur- Asia untuk julung kalinya setelah seri 10-10 pada kejohanan yang pertama kali diadakan pada 2014. — Bernama

Advertisement