Anda di sini

KPDNKK periksa 2,594 premis perniagaan sempena Krismas

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan penguat kuasa KPDNKK melakukan pemeriksaan di Pasar Sentral Sibu sempena Krismas lalu.

PERIKSA: Gambar fail menunjukkan penguat kuasa KPDNKK melakukan pemeriksaan di Pasar Sentral Sibu sempena Krismas lalu.

SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memeriksa 2,594 premis perniagaan di seluruh negeri sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Krismas dari 23 hingga 27 Disember lalu.

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Abdul Hafidz A Rahim berkata sepanjang pemeriksaan itu pihaknya mendapati peniaga memberi kerjasama baik dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Tiada peniaga dikenakan tindakan dalam tempoh tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai jumlah kes dicatatkan sepanjang tempoh pelaksanaan skim tersebut.

Menurut Abdul Hafidz, daripada 2,594 premis diperiksa sejumlah 533 premis di Kuching, Sibu (395), Bintulu (332), Miri (272), Kapit (296), Sri Aman (256), Limbang (201), Mukah (182) dan Sarikei (127).

Beliau memberitahu, sempena skim kawalan harga untuk perayaan Tahun Baharu Cina lalu sejumlah 9,916 premis diperiksa.

“Bagi Gawai Dayak, kami memeriksa sejumlah 6,505 premis, 10,035 premis sempena Hari Raya Aidilfitri dan 5,540 sempena Deepavali.

Abdul Hafidz menjelaskan, semasa Skim Kawalan Harga Tahun Baharu Cina, pihaknya mengambil tindakan terhadap 13 kes, Gawai Dayak (20), Hari Raya (16) dan Deepavali (dua) bagi kesalahan gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengguna terus menjadi mata dan telinga kementerian dengan melaporkan mana-mana peniaga melanggar peraturan.

Advertisement