Anda di sini

Kira-kira 20 juta nikmati rebat GST kad prabayar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 20 juta rakyat Malaysia akan menikmati faedah rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi kad prabayar tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Dalam kenyataan semalam, beliau mengambil perhatian bahawa bermula 1 Jan sehingga 31 Dis 2016, pelanggan prabayar yang terdiri daripada warganegara Malaysia layak mendapat rebat GST.

“Ini jelas memberi faedah kepada pelanggan, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2016 pada Oktober lepas,” katanya.

Salleh berkata beliau gembira apabila dimaklumkan syarikat-syarikat telekomunikasi sudah bersedia bagi pelaksanaan rebat GST untuk pelanggan prabayar.

Beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau perkara itu bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Menteri itu  berkata suruhanjaya perlu terus bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat telekomunikasi dan pada masa sama memastikan kepentingan pelanggan kekal menjadi keutamaan. — Bernama

Advertisement