Anda di sini

Kemas kini permohonan BR1M secara online

Advertisement

Ia bagi mengatasi kesesakan seperti yang berlaku di ibu pejabat LHDN sejak 28 Disember lalu

// Oleh Nick Fletcher //

 Orang ramai mengerumuni kaunter mengemas kini BR1M yang dibuka di ibu pejabat LHDN di sini.

SESAK: Orang ramai mengerumuni kaunter mengemas kini BR1M yang dibuka di ibu pejabat LHDN di sini.

KUCHING: Orang ramai khususnya golongan muda diminta mengemas kini permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masing-masing secara atas talian  (online) menerusi laman sesawang ebr1m.hasil.gov.my.

Ini bagi mengatasi kesesakan seperti yang berlaku di ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini sejak 28 Disember lalu di mana begitu ramai orang datang untuk mengemas kini permohonan BR1M menerusi kaunter yang disediakan di situ.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Sarawak Shahminan Ahmad berkata masalah itu berlaku disebabkan  langkah saat akhir oleh kebanyakan orang selain sikap sebilangan orang muda yang enggan menggunakan perkhidmatan atas talian yang disediakan.

Beliau menjelaskan kaunter yang dibuka di ibu pejabat LHDN adalah disediakan khusus untuk golongan warga emas mengemas kini BR1M masing-masing tetapi malangnya ia turut digunakan oleh kebanyakan orang muda.

“Sejak 28 Disember termasuk hari ini (semalam), hampir 1,000 orang berpusu-pusu datang ke sini untuk mengemas kini BR1M menyebabkan keadaan di sini sesak.

“Oleh itu, saya berharap lebih ramai orang terutama golongan muda supaya membuat kemas kini BR1M secara online kerana ini lebih mudah selain tidak perlu beratur,” katanya ketika ditemu bual semalam.

Menurut Shahminan, kira-kira 10 kaunter kemas kini BR1M mula dibuka di aras bawah ibu pejabat LDHN sejak 1 Disember selain komputer turut disediakan bagi menyediakan kemudahan untuk orang ramai membuat kemas kini secara atas talian.

Namun demikian, katanya tiada orang menggunakan perkhidmatan yang disediakan dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu sehingga kelmarin apabila begitu ramai orang datang memandangkan tempoh akhir untuk kemas kini BR1M semakin hampir iaitu pada 31 Disember.

“Kesesakan di sini hanya akan dapat diatasi jika lebih ramai orang menggunakan online,” katanya.

Selain itu, Shahminan berkata LHDN turut menempatkan para pegawai di beberapa Pejabat Daerah seperti di Bau, Lundu dan Sematan untuk membantu masyarakat di kawasan-kawasan berkenaan mengemas kini butiran terkini mereka.

Advertisement