Anda di sini

Gembira, syukur dibeli barang keperluan persekolahan

Advertisement

Baginya tidak ada yang lebih bermakna selain pakai pakaian baharu mulakan persekolahan 4 Jan

// Oleh Henrietta Liza //

 Hasidah (tengah) memakaikan kain sarung pakaian seragam kanak-kanak perempuan di Butik Wan Fatt di Kuching semalam.

MESRA: Hasidah (tengah) memakaikan kain sarung pakaian seragam kanak-kanak perempuan di Butik Wan Fatt di Kuching semalam.

KUCHING:Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Semerah Padi, Zaid Salleh Rahman, 10, menyatakan rasa gembira dan bersyukur kerana dibelikan barang keperluan persekolahan di sini, semalam.

Baginya tidak ada yang lebih bermakna selain daripada mengenakan pakaian baharu untuk memulakan sesi persekolahan pada 4 Januari depan.

“Adik saya yang berumur sembilan tahun akan dibelikan pakaian seragam yang baharu, emak yang beritahu Jumaat ini dia akan belikan.

“Ingat mula-mula tidak akan ada baju baharu untuk tahun depan, tapi sudah ada sekarang… bersemangat juga hendak turun sekolah,” katanya ketika ditanya perasaannya oleh pemberita semalam.

Zaid merupakan antara 49 murid sekolah rendah dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang yang terpilih daripada golongan keluarga kurang berkemampuan.

Setiap murid telah diperuntukkan RM100 seorang untuk membeli dua set pakaian seragam, dua set kasut sekolah, stoking, tali pinggang atau tudung di Butik Wan Fatt, Satok sebelum bermulanya sesi persekolahan nanti.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata program tersebut menyasarkan golongan seperti ibu tunggal yang mempunyai anak yang ramai dan mereka yang kurang berkemampuan.

Ditambah lagi, saban hari keadaan ekonomi negara juga kian meningkat dan menyukarkan lagi kehidupan golongan sasar.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Biro Ekonomi Samariang dan Skuad Sayang Samariang yang dihadiri seramai 25 ahlinya semalam,untuk membantu kanak-kanak membuat pilihan.

Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata ia merupakan keprihatinan pihaknya untuk memberi keperluan kepada golongan tersebut.

Sebelum ini, dalam program ‘Back to School’ pihaknya telah mengedarkan lebih 200 buah beg kepada pelajar yang memerlukan bantuan persekolahan tersebut.

 Murid SK Semerah Padi, Zaid Salleh Rahman gembira, bersyukur dibelikan barang keperluan persekolahan.

BERSEMANGAT KE SEKOLAH: Murid SK Semerah Padi, Zaid Salleh Rahman gembira, bersyukur dibelikan barang keperluan persekolahan.

Advertisement