Anda di sini

Empat remaja geng samun ditahan di Nibong Tebal

Advertisement

NIBONG TEBAL: Polis berjaya menumpaskan geng samun yang aktif menjalankan aktiviti itu di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini selepas menahan empat remaja lelaki pada Ahad.

Ketua Polis Daerah SPS Supt Wan Hassan Wan Ahmad berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya berjaya menahan empat remaja lelaki berusia 18 tahun itu di Nibong Tebal di sini.

“Susulan penahanan empat remaja yang tidak bekerja itu polis merampas sejumlah sim kad dan lima buah telefon bimbit pelbagai jenis bernilai RM4,000 bersama mereka,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka terlibat sekurang-kurangnya empat kes samun di SPS dan aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak bulan lepas.

“Berdasarkan siasatan polis juga mendapati kumpulan itu dipercayai terlibat dalam kegiatan samun sebanyak dua kali di Bandar Cassia, Batu Kawan dekat sini pada Jumaat lepas,” katanya.

Wan Hassan berkata modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan warga asing sebagai mangsa mereka dan menjalankan kegiatan samun pada waktu malam.

Katanya mereka kini direman sehingga 2 Jan ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 296 mesin judi bernilai lebih RM200,000 dilupuskan di Pejabat Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah SPS, dekat sini semalam.

Katanya semua yang dilupuskan itu adalah barang kes yang dirampas membabitkan 272 set komputer dan 24 set mesin simulator yang dipercayai digunakan sebagai peralatan perjudian.

“Barang kes yang dilupuskan melibatkan 24 kes sejak 2011 hingga 2014 yang telah berjaya diselesaikan dan mendapat perintah mahkamah untuk dilupus.

“Peralatan itu dipercayai dimanipulasi daripada peralatan hiburan keluarga menjadi mesin judi,” katanya. — Bernama

Advertisement