Anda di sini

Banjir mula melanda

Advertisement

Lapan rumah terjejas akibat banjir kilat di Kampung Sungai Nada, Muara Tabuan, Kuching

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

 Keadaan banjir kilat di kawasan kediaman di Kampung Sungai Nada, Muara Tabuan awal pagi semalam.

BANJIR: Keadaan banjir kilat di kawasan kediaman di Kampung Sungai Nada, Muara Tabuan awal pagi semalam.

 Seorang penduduk Kampung Sungai Nada, Muara Tabuan berjalan di kawasan rumahnya yang dinaiki air.

REDAH: Seorang penduduk Kampung Sungai Nada, Muara Tabuan berjalan di kawasan rumahnya yang dinaiki air.

KUCHING: Sekurang-kurangnya lapan rumah terjejas akibat banjir kilat di Kampung Sungai Nada, Muara Tabuan di sini berikutan hujan lebat sejak jam 10 malam kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 1.18 pagi semalam, seramai 30 penghuni terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara di SMK Tabuan Jaya.

Menurut sumber, paras air mula naik selepas hujan lebat sejak petang kelmarin dan bertambah teruk ketika hujan berterusan sehingga malam.

“Tujuh rumah terjejas dengan air yang naik sehingga paras lutut (lebih sekaki) manakala sebuah lagi rumah dimasuki air separas pinggang (lebih kurang tiga kaki),” kata sumber sambil mendedahkan bahawa kampung tersebut mempunyai 30 rumah melibatkan 113 penghuni.

Bagaimanapun keadaan banjir kilat di kawasan kediaman itu kembali reda selepas air beransur surut sehingga jam 4.26 pagi.

Sumber berkata sungai di kampung itu tersumbat akibat kegiatan projek perumahan di kawasan berhampiran yang merupakan faktor utama kejadian banjir kilat.

Menurutnya, saliran tersekat menyebabkan air bertakung dan tidak mengalir keluar ketika hujan lebat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi berkata keadaan air terkawal dan mula surut pada jam 3 pagi.

Setakat berita ini ditulis, kesemua penghuni telah kembali ke rumah masing-masing sejurus air surut sepenuhnya.

Advertisement