Anda di sini

Indeks jenayah di Sibu menurun 70%

Advertisement

Oleh Andy Sabang//

 

SIBU: Indeks jenayah direkodkan di Sibu menurun sebanyak 70 peratus sekali gus melangkaui sasaran yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi berkata sehingga 26 Disember lalu, sebanyak 57 serbuan dilakukan di 83 lokasi bagi mengesan dan membanteras kumpulan-kumpulan disyaki terlibat dalam jenayah gengsterisme.

Katanya seramai 88 individu disyaki terbabit dalam jenayah gengsterism turut diberkas.

“Di Sibu, kegiatan judi atas talian secara keseluruhannya berjaya dilumpuhkan. Sebanyak 149 serbuan direkodkan membawa kepada penahanan seramai 781 orang.

“Selain itu, kegiatan judi nombor 4D haram juga berjaya dibanteras dengan sebanyak 28 serbuan dilakukan dan seramai 33 orang ditahan setakat ini,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan IPD Sibu semalam.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sibu (KBSJD) DSP Yeoh Chun Shyan.

Menurut Mohd Kamal, selain itu pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap 30 pusat hiburan sekitar bandar.

Jelas beliau, pemeriksaan tersebut bertujuan memastikan pusat-pusat hiburan di sini selamat dikunjungi serta bebas daripada sebarang aktiviti jenayah.

“Seramai 41 orang ditahan di pusat hiburan kerana terbabit dengan pelbagai jenayah,” jelas beliau.

Mohd Kamal meminta sokongan dan kerjasama semua pihak memastikan bandar Sibu selamat dan bebas daripada jenayah.

Beliau juga memberitahu bahawa kerjasama PDRM Sibu dengan media akan terus diperkukuhkan.

“Selain menguatkuasakan udang-undang, cabaran terbaharu PDRM ialah penyebaran maklumat palsu menerusi laman sosial sehingga memberi implikasi negatif terhadap jabatan kepolisan,” jelasnya.

Katanya sumbangan media menangkis berita palsu amat diperlukan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat kepada polis.

Seramai inspektor polis dinaikkan pangkat ke Asisten Superintenden Polis (ASP).

Majlis pemakaian pangkat disempurnakan Mohd Kamal pada perhimpunan berkenaan.

 

Advertisement