Anda di sini

Penduduk Kampung Selalo lega k’jaan bina jalan berturap

Advertisement

SIBU: Penduduk Kampung Selalo di Bawang Assan melahirkan rasa bersyukur dan gembira apabila kerajaan membina jalan raya berturap untuk mereka bagi mengganti laluan pejalan kaki menggunakan papan usang.

Sebelum ini, penduduk berkenaan telah memohon untuk membaiki laluan pejalan kaki kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh semasa lawatan beliau yang terdahulu.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti mendapati penduduk kampung memerlukan jalan raya dan bukannya laluan pejalan kaki menggunakan papan.

Beliau kemudian membawa permohonan penduduk tersebut kepada sebuah jabatan kerajaan dan projek infrastruktur kecil itu telah dilaksana dengan segera.

Pada Krismas lepas, Wong diiringi beberapa ahli Parti Rakyat Bersatu (UPP) telah melawat kampung itu dan beliau serta rombongannya telah disambut mesra penduduk kampung.

Jalan itu siap sebelum Krismas dan penduduk kampung Melayu itu menganggap pelaksanaan jalan itu sebagai hadiah muhibah antara mereka dan kerajaan.

Dalam tempoh dua dekad lalu, kawasan DUN Bawang Assan Kawasan yang terletak di pinggir Sibu telah melalui transformasi besar-besaran.

Daripada sebuah kampung yang hanya dapat dihubungi dengan pengangkutan sungai, kampung serta rumah panjang di kawasan tersebut kini dapat dihubungkan dengan jaringan jalan raya yang baik.

Penduduk kampung berkenaan dapat memandu pulang dari bandar ini dalam masa kurang daripada setengah jam.

Sebelum ini, perjalanan dengan menggunakan bot memakan masa sehingga dua jam. Penduduk di situ juga menikmati kemudahan infrastruktur lain, termasuk perkhidmatan Internet, bekalan air dan elektrik.

Advertisement