Anda di sini

193 pegawai KPDNKK pantau harga barang

Advertisement

Ia sempena pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015 berkuat kuasa semalam

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggerakkan 193 pegawai penguat kuasanya turun padang di seluruh Sarawak sempena pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015 berkuat kuasa semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerahan itu dilaksanakan serentak di seluruh negara dengan membabitkan kira-kira 2,300 pegawai penguat kuasa.

Beliau memberitahu, pegawai penguat kuasa KPDNKK akan dibantu Pagawai Pemantau Harga (PPH) serta Skuad Pengguna dalam operasi memantau pelaksanaan skim itu.

“Kita telah mengarahkan tindakan tegas diambil ke atas peniaga yang ingkar, enggan mematuhi skim kawalan harga dalam mana-mana musim perayaan termasuk Krismas.

“Jadi pengawai penguat kuasa akan turun ke semua kawasan untuk memastikan peniaga ini mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

“Kalau mereka (peniaga) ingkar kompaun akan dikenakan sampai mencecah RM20,000,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu Ahmad Bashah menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas Peringkat Kebangsaan 2015 di Pasar Raya Besar Giant Kota Padawan di sini.

Justeru, beliau berharap peniaga memberi kerjasama, antaranya meletakkan tanda harga merah jambu pada 16 barang harga terkawal sepanjang tempoh lima hari penguatkuasaan (23-27 Disember 2015).

“Kita juga meminta orang ramai sekiranya terdapat pada tanggapan mereka ada peniaga mengambil kesempatan, tolong buat aduan kepada kami.

“Pengguna mesti membuat aduan bagi membolehkan kami menggerakkan pegawai penguat kuasa ke lokasi-lokasi dimaksudkan untuk melakukan tinjauan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya,” katanya sambil menambah, pihaknya memerlukan kerjasama daripada pengguna kerana kerja-kerja penguatkusaan agak sukar dilakukan.

Mengenai skim kawalan harga sempena Krismas, Ahmad berkata ia membabitkan 16 barang terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan babi.

Menurutnya pada tahun ini terdapat perubahan pada senarai barang di bawah skim kawalan harga sempena Krismas dengan mengambil kira keperluan serta pemintaan masyarakat meraikan perayaan tersebut.

“Kita merasakan keperluan rakyat di Sarawak, Sabah dan Labuan bagi menyambut Krismas berlainan sedikit daripada di Semenanjung. Jadi sebab itu, kita telah membuat penambahan beberapa jenis barang.

“Barang yang ditambah ialah kepak ayam, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) dan babi hidup (kawalan di peringkat ladang kerana ini keperluan rakyat di tiga negeri ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang mendakwa kerajaan tidak sensitif dengan keperluan masyarakat Kristian di negara ini kerana tidak menyenaraikan ayam belanda sebagai barang kawalan sejak tahun lalu.

“Bukannya kerajaan tidak sensitif, sebenarnya daripada tinjauan kita sebelum ini, tahun lepas pun kita tidak senarai, kerana harga ayam belanda di parasan adalah konsisten iaitu antara RM30 hingga RM32 sekilogram.

“Jadi kita rasa tidak perlu, kalau dah konsisten, ketika ini kementerian memfokus kepada barang yang harganya tidak konsisten seperti ayam, kalau hari biasa harganya RM6 sekilogram tetapi musim perayaan boleh naik sampai RM8 sekilogram… terdapat perbezaan harga yang amat ketara,” jelasnya.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera)  Datuk Mohd Naroden Majais, Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahyudin, Pengurus Pasar Raya Besar Giant Wilayah Sabah dan Sarawak Andrew Smith dan Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan.

Advertisement