Anda di sini

Menderma darah bermanfaat kepada penerima, penderma

Advertisement

// Oleh Nick Fletcher //

 Antara yang menderma darah semasa kempen derma darah yang diadakan di sebuah pusat  beli-belah di Kuching baru-baru ini.

TIDAK SAKIT: Antara yang menderma darah semasa kempen derma darah yang diadakan di sebuah pusat
beli-belah di Kuching baru-baru ini.

MANUSIA mungkin kehilangan darah akibat pendarahan yang berlebihan sama ada berpunca daripada kecederaan atau penyakit.

Jadi, darah tersebut perlulah digantikan melalui pemindahan darah.

Apabila perkara ini berlaku, maka beberapa perkara perlu diambil kira seperti kesesuaian darah penderma dengan darah penerima.

Bagaimanapun, kebanyakan orang awam sering kali memberi pelbagai alasan apabila disuruh tampil menderma darah.

Antara alasan yang popular ialah menyebabkan kegemukan, rasa tidak selesa dan lemah, walhal ia tidak benar sama sekali.

Justeru, mereka yang layak menderma darah tetapi belum lagi menderma darah perlu mengubah sikap dengan menyemai azam menderma darah kerana setitik darah anda mampu menyelamatkan nyawa.

Malah, derma darah juga harus dilihat sebagai suatu proses yang memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat malah kepada penderma sendiri.

Persepsi negatif bahawa menderma darah boleh menimbulkan pelbagai kesan sampingan seperti kegemukan, rasa tidak selesa dan lemah perlu dikikis sama sekali.

Boleh Menyelamatkan Nyawa Seseorang

Bagi orang yang berisiko kehilangan darah seperti akibat kemalangan dan juga ibu yang melahirkan anak, darah yang didermakan adalah sangat penting.

Dalam keadaan kecemasan seperti itu, mereka sangat memerlukan darah yang banyak dalam kadar yang segera.

Sudah tentu pada saat kecemasan itu, jika tiada bekalan darah yang didermakan, proses ini akan menyulitkan lagi keadaan pesakit.

Boleh Membantu Seseorang Dengan Penyakit Yang Berkaitan Dengan Darah

Derma darah juga penting dalam membantu pesakit yang menghidap penyakit yang berkaitan dengan darah seperti hemofilia, anemia dan talasemia yang berkaitan dengan sel darah merah.

Manakala penyakit kegagalan sumsum tulang dan leukemia pula adalah penyakit yang berkaitan dengan platelet.

Mereka ini sangat memerlukan darah bagi menjalani kehidupan biasa seperti kita.

Tanpa bekalan darah yang berterusan, maka perkara ini boleh mengundang maut kepada pesakit.

Justeru, darah yang diderma adalah sangat penting.

Kesedaran Umum

Susanne Lee dengan tenang melihat beg plastik kecil di sisinya dipenuhi perlahan-lahan dengan darahnya sambil menggenggam bebola berwarna putih.

Wanita berusia 25 tahun itu menderma darah buat pertama kalinya selepas mengetahui kempen derma darah sedang diadakan di pusat beli-belah di mana dia bekerja.

“Apabila saya mengetahui kempen derma darah sedang dianjurkan di Plaza Merdeka, saya fikir ia adalah sesuatu yang patut saya buat untuk membantu masyarakat,” katanya.

Seperti kebanyakan orang, Susanne pada mulanya menyangka menderma darah adalah satu pengalaman yang menyakitkan.

“Namun saya amat terkejut kerana selepas pegawai perubatan mencucuk jarum, ia tidak sakit sama sekali.

“Malah, selepas menyedari bahawa menderma darah adalah satu prosedur yang cepat dan tidak menyakitkan, ia membuatkan saya rasa teruja untuk membantu mereka yang memerlukan darah,” katanya.

Seorang lagi yang memahami keperluan darah adalah bekas penerima, yang menjadi penderma darah tegar iaitu Datin Lau Ai Huon.

“Saya memutuskan untuk menderma darah selepas kelahiran anak bongsu saya pada 29 tahun yang lalu.

“Ketika melahirkan kandungan, saya mengalami kerumitan semasa pembedahan dan saya memerlukan banyak darah.

“Darah yang saya terima telah menghidupkan saya selain ia telah memberi keberanian kepada saya untuk menderma darah.

“Sejak itu, saya telah menderma darah kerana ia adalah cara saya memberi balik kepada masyarakat,” kata ahli perniagaan itu yang sudah menderma darah sebanyak 95 kali.

Memahami kepentingan bekalan darah yang berterusan, wanita berusia 53 tahun itu berkata ia adalah penting bagi lebih ramai orang terutama wanita untuk tampil menderma darah.

“Selain membuat kebaikan kepada mereka yang memerlukan darah, penderma juga memperolehi faedah kesihatan kerana daripada pengalaman saya selama ini menderma darah, saya mendapati ia mengurangkan tekanan darah saya,” katanya.

 Beg darah daripada penderma disediakan oleh pegawai perubatan sebelum ia disimpan dalam kontena khas pada kempen derma darah baru-baru ini.

SIMPAN DARAH: Beg darah daripada penderma disediakan oleh pegawai perubatan sebelum ia disimpan dalam kontena khas pada kempen derma darah baru-baru ini.

Menderma darah bermanfaat kepada penerima, penderma

Susanne dan Lau adalah antara yang tampil untuk menderma darah sempena kempen derma darah yang dianjurkan oleh persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Bank Darah dan Unit Transfusi HUS Dr Mohammad Masrin Md Zahrin berkata pihaknya telah bekerja rapat dengan pelbagai organisasi untuk memberi kesedaran tentang keperluan bagi derma darah dengan kerap untuk memastikan bekalan darah sentiasa konsisten kerana komponen darah memiliki jangka hayat yang pendek.

“Menderma darah secara sukarela adalah amalan kemanusiaan yang amat mulia dan menyelamatkan nyawa ribuan manusia setiap hari selain meningkatkan dengan signifikan kualiti hidup ribuan lagi manusia.

“Ia adalah satu anugerah yang altruistik dan semua percaya ia tidak harus menjadi komoditi untuk dipasarkan.

“Sama seperti amalan sukarela pada amnya memupuk solidariti global, kebangsaan, komuniti dan keluarga, menderma darah secara sukarela menggariskan solidariti global berhubung satu anugerah yang tidak ternilai – anugerah darah,” katanya.

Bank Darah HUS sekarang menerima purata 1,600 unit beg darah setiap bulan dan jumlah beg darah yang diterima setakat 13 Disember 2015 adalah mencecah 20,411 unit.

Bagaimanapun, Dr Masrin berharap lebih ramai penderma akan terus tampil memastikan bekalan yang konsisten dan mapan kepada Bank Darah HUS.

“Kami menerima kira-kira 19,566 beg darah daripada penderma darah tahun lepas namun jumlah ini tidak mencukupi.

“Dan walaupun darah yang diterima sekarang berada pada tahap yang baik iaitu dua peratus daripada populasi, sasaran bagi bekalan yang benar-benar mencukupi hanya dapat dicapai apabila darah yang diderma mencecah lima peratus daripada populasi keseluruhan.

“Matlamat kami adalah untuk mengembang serta memelihara jumlah penderma darah yang mapan dan kerap khususnya di kalangan generasi lebih muda.

“Kita perlu meningkatkan jumlah penderma darah yang muda antara usia 17 hingga 25 tahun kepada 35 peratus daripada populasi penderma berbanding 30 peratus sekarang,” ujarnya.

Beliau turut mengakui walaupun lebih ramai orang sekarang sedar mengenai kepentingan menderma darah, terdapat juga faktor yang menghalang orang daripada menderma darah.

“Halangan utama termasuk persepsi orang ramai bahawa stok darah mencukupi, takut kepada kesakitan dan jarum, kesusahan mencari tempat letak kereta di pusat derma darah, masa menunggu yang lama di beberapa kempen darah berskala besar selain kekurangan maklumat dan pengetahuan tentang kepentingan menderma darah.

“Satu lagi sebab mengejutkan yang disebut oleh orang ramai untuk tidak menderma darah adalah takut berat badan akan naik…ada orang yang mempunyai tanggapan yang salah bahawa mereka akan makan lebih banyak selepas menderma darah kerana darah perlu ‘diganti semula’ tetapi ini tidak benar, jadi penderma darah tidak harus bimbang,” tegasnya.

Menjelas lanjut, Dr Masrin berkata menderma darah adalah satu prosedur yang mudah dan selamat dengan setiap sesi biasanya memakan masa kira-kira 10 minit.

“Penderma akan ditempatkan dalam keadaan yang selesa, biasanya di atas kerusi khas atau di atas katil dan ia biasanya memakan masa kira-kira 10 minit sahaja untuk menderma darah.

“Selepas berehat selama 10 atau 15 minit dan mengambil makanan dan minuman ringan, penderma sudah dapat menjalankan semula aktiviti biasa mereka tetapi penderma dinasihati mengelak aktiviti berat pada waktu itu dan minum banyak air dalam tempoh 24 jam seterusnya,” kata Dr Masrin.

Darah yang diderma, tambahnya akan dikuarantin dan dihantar untuk penapisan bagi hepatitis B, hepatitis C, HIV dan sifilis.

“Selepas diluluskan, darah diproses kepada komponen – plasma, platelet dan sel dipek (sel darah merah) yang kemudian diberikan kepada hospital atau disimpan,” katanya.

Sebelum memberi darah, Dr Masrin menjelaskan penderma juga akan ditanya beberapa soalan mengenai sejarah perubatannya seperti gaya hidup dan keadaan kesihatan sekarang termasuk sama ada mereka mengambil ubat atau tidak.

“Soalan-soalan ini akan ditanya untuk melindungi kesihatan anda sendiri dan kesihatan individu yang menerima darah anda.

“Ia juga sangat penting untuk bersikap jujur mengenai sebarang sebab kenapa darah anda mungkin tidak sesuai,” katanya.

Menurutnya, walaupun darah harus sentiasa diperiksa bagi jangkitan yang dapat disebar menerusi transfusi seperti HIV, hepatitis B dan C, sifilis dan malaria, ujian mungkin tidak dapat mengesan jangkitan terkini.

“Ini bermakna walaupun darah mungkin didapati negatif bagi jangkitan tertentu, ia mungkin masih dapat menjangkiti pesakit yang menerima transfusi darah,” katanya.

Selepas menjawab soalan, pemeriksaan perubatan singkat juga akan dijalankan termasuk memeriksa tekanan darah untuk memastikan berat badan penderma memenuhi kriteria minimum tertentu selain setitis darah yang diambil dari hujung jari untuk menentukan penderma tidak akan anemik selepas menderma darah.

Dengan sel darah merah yang bertahan paling lama 42 hari dan platelet yang hanya dapat disimpan selama lima hingga tujuh hari, Dr Masrin menegaskan bahawa jangka hayat komponen darah yang singkat adalah sebab kenapa Bank Darah HUS sentiasa memerlukan bekalan.

“Sel darah merah memiliki jangka hayat kira-kira 120 hari dalam darah sebelum ia mati dan diganti semula. Daripada mensia-siakannya, menderma darah dapat membantu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Menjelang musim perayaan yang akan datang, Dr Masrin juga menyeru kepada penderma darah untuk hadir menderma darah di bank darah hospital di seluruh negeri atau menyertai kempen derma darah yang diadakan sempena musim cuti ini.

“Bank darah biasanya mengalami penurunan dalam kegiatan menderma darah khususnya pada musim cuti.

“Atas sebab ini, kami akan menganjurkan kempen darah setiap hari dengan kerjasama persatuan dan pertubuhan untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi pada bulan ini,” katanya dan menegaskan HUS menyasari 2,000 unit beg darah pada bulan ini.

Beliau menambah menjelang perayaan Krismas, anugerah darah adalah pemberian terbaik kepada pesakit yang amat memerlukannya.

 Lau menerima anugerah daripada Menteri  Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom sebagai  penderma darah wanita terbaik disaksikan Dr Masrin (kiri),  Pengarah HUS Dr Chin Zin Hing (kanan) dan Pengerusi  Persatuan Penderma Darah Sarawak Robert Laing Anyie (tengah)  pada Malam Anugerah Penderma Darah baru-baru ini.

TAHNIAH: Lau menerima anugerah daripada Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom sebagai penderma darah wanita terbaik disaksikan Dr Masrin (kiri), Pengarah HUS Dr Chin Zin Hing (kanan) dan Pengerusi Persatuan Penderma Darah Sarawak Robert Laing Anyie (tengah) pada Malam Anugerah Penderma Darah baru-baru ini.

Advertisement