Anda di sini

Disambar buaya ketika bermain di tebing sungai

Advertisement
 Tebing sungai mula dipenuhi orang kampung yang menunggu hasil usaha mencari dan menyelamat mangsa.

LOKASI: Tebing sungai mula dipenuhi orang kampung yang menunggu hasil usaha mencari dan menyelamat mangsa.

SPAOH: Seorang budak lelaki berusia 10 tahun hilang selepas disambar buaya di sungai Kampung Bungin dekat sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, mangsa, Mohammad Fakrul Rezza Dahari, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Bungin dikatakan bermain di tebing sungai bersendirian sambil menunggu ibunya.

Beberapa rakan mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut sempat melihat kelibat mangsa  disambar reptilia ganas itu dan terus dibawa ke dalam sungai dan hilang.

Balai Polis Spaoh menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada pengadu, Mohd Rizuan Shah Othman yang berasal dari kampung sama sekitar jam 3.15 petang semalam.

Sejurus selepas menerima aduan, gerakan operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Betong dibantu penduduk kampung turut dilancarkan.

Dalam pada itu, keadaan air sungai surut menyukarkan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Sehingga berita ini ditulis, mangsa belum ditemui.

Advertisement