Anda di sini

Nelayan disaran kreatif, inovatif tingkat ekonomi

Advertisement

Oleh Siti Aisyah Ramli//

 

 Dr Abdul Rahman (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan elaun sara hidup dan bantuan 1 AZAM berupa keperluan menangkap ikan kepada salah seorang penerima di Telaga Air, semalam.

SIMBOLIK: Dr Abdul Rahman (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan elaun sara hidup dan bantuan 1 AZAM berupa keperluan menangkap ikan kepada salah seorang penerima di Telaga Air, semalam.

TELAGA AIR: Para nelayan di negeri ini disaran untuk lebih kreatif dan inovatif khususnya dalam usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Menjelaskan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, peralatan yang disumbang oleh kerajaan bagi memudahkan nelayan menjalankan aktiviti penangkapan sumber laut, juga boleh dijadikan sebagai sumber untuk menjalankan aktiviti lain yang juga dapat memberi pulangan pendapatan kepada para nelayan terlibat.

“Para nelayan harus bijak mengambil kesempatan selain menggunakan peluang sedia ada untuk menggunakan setiap kemudahan dan bantuan yang disalurkan bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

“Sebagai contoh, perahu sedia ada yang digunakan untuk turun ke laut boleh dinaik taraf sebagai teksi sungai bertujuan untuk membawa pelancong mahupun orang yang datang ke sini (Telaga Air) bersiar-siar di perairan laut atau ke pulau berdekatan dan ini juga boleh menjana pendapatan tambahan kepada nelayan kita,” katanya.

Tambahnya, dalam pada nelayan menjana pendapatan seharian, mereka juga boleh membantu mempromosi keindahan yang terdapat di negeri ini kepada pelancong luar yang datang ke sini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyampaian Elaun Sara Hidup dan Bantuan 1 Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) kepada ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Satang Biru di Dewan Serba Guna Kampung Telaga Air di sini, semalam.

Mengulas mengenai majlis itu, kata Dr Abdul Rahman, ia merupakan sebahagian daripada program bantuan yang disediakan kerajaan khusus untuk membantu golongan berkenaan meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Antara lain, katanya termasuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Projek Bantuan Rumah (PBR), skim bantuan perumahan, bantuan hasil tangkapan, subsidi diesel dan banyak lagi.

“Peningkatan taraf hidup ini tidak hanya menekankan aspek hidup nelayan semata-mata, apa yang utama ialah menyediakan kaedah kepada para nelayan ini menyediakan kehidupan yang lebih selesa dan baik untuk anak-anak mereka,” ujarnya.

Pada majlis itu, kira-kira 200 ahli PNK Satang Biru menerima elaun sara hidup dan bantuan 1 AZAM berupa keperluan menangkap ikan.

Dr Abdul Rahman turut mendedahkan, jumlah bayaran elaun sara hidup kepada ahli PNK Satang Biru sejak 2008 hingga November 2015 adalah berjumlah RM1.4 juta dan jumlah elaun sara hidup yang disampaikan semalam ialah sebanyak RM59,850.

Beliau turut mengumumkan peruntukan dana pengurusan PNK Satang Biru bagi 2016 iaitu sebanyak RM5,000.

Turut hadir Pengerusi PNK Satang Biru Bohari Ganti dan wakil Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Matali Bujang.

 

 

Advertisement