Anda di sini

Cina digesa beri mandat kepada Adenan

Advertisement

Oleh Borhaniza Ali Basah//

 

SIBU: Masyarakat Cina di sini digesa supaya memberi mandat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem agar beliau terus melaksanakan dasar membawa banyak manfaat kepada semua masyarakat di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata hanya dua tahun memerintah antara lain Adenan banyak menyumbang ke arah pembangunan pendidikan Cina.

“Beliau memberi geran kepada sekolah persendirian Cina bermula RM3 juta sebelum ini kepada RM4 juta tahun ini dan berjanji meningkatkan jumlah itu kepada RM5 juta tahun depan.

“Selain itu, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah diberi pengiktirafan di Sarawak.

“Dengan perkembangan ini, pemegang UEC kini boleh memohon biasiswa Yayasan Sarawak untuk melanjutkan pengajian mereka.

“Beliau (Adenan) memang membuktikan dirinya sebagai Ketua Menteri untuk semua kaum.

“Oleh itu, saya meminta saudara Cina saya tidak melepaskan peluang memberi mandat sepenuhnya kepada Ketua Menteri untuk beliau meneruskan usaha demi kebaikan semua rakyat Sarawak,” katanya pada Karnival dan Gotong-Royong Taman Diong Kik di sini, Sabtu lalu.

Acara itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Diong Kik.

Hadir sama Pengerusi JKKK Kapitan Lau Kiu Seng dan pengerusi enganjur Grace Chan.

Dr Annuar menambah, pembangkang memerintah negeri seperti Selangor adalah mengikuti jejak langkah Adenan dalam menyediakan geran kepada sekolah persendirian Cina.

“Tetapi mereka tidak dapat menandingi Ketua Menteri kita di mana sekolah persendirian Cina di Selangor dan Pulau Pinang hanya menerima RM2 juta.

“Sebaliknya, di Sarawak kerajaan negeri memberi lebih daripada RM3 juta dan menaikkan RM4 juta (tahun ini) dan akan meningkat kepada RM5 juta (tahun depan).

Jelasnya, pembangkang masih meniru corak Adenan dan majoriti masyarakat Cina bersyukur kerana mereka dihargai.

Mengenai hal lain, beliau memberi jaminan terus membantu JKKK terbabit dalam penganjuran pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Sementara itu, program berkenaan bermula jam 7 hingga 11 pagi.

Lebih 100 penduduk mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut.

 

Advertisement