Anda di sini

Atlet Brunei menyerlah pada Kejuaraan Mr Fitness Belia

Advertisement

 Alrzrin beraksi dalam saringan kategori atas-170sm.

KEBANGGAAN MIRI: Alrzrin beraksi dalam saringan kategori atas-170sm.

MIRI: Pasukan Brunei menyerlah pada kejuaraan julung kali Mr Fitness Belia 2015 yang berlangsung di Permymall di sini.

Wakil kontinjen Brunei, Mohd Faizal Mohamad mengungguli cabaran Bawah- 170sm, manakalan rakan sepasukan, Hazman Johari dan Suffrel Azril Suffian masing- masing menempatkan diri pada kedudukan kedua dan kelima.

Menduduki tempat ketiga dan keempat masing-masing adalah peserta tempatan, Yussie Mohamad dan Rashidi Cassady Abdullah dari Limbang.

Manakala dalam kategori atas-170sm, eksekutif perbankan Mohd Alrzrin Abdul Ghani membawa pulang gelaran juara diikuti rakan senegeri, Mohamad Shahrul Din tempat kedua, Mohamad Rahemi Abdul Manaf dan Rahim Talip, kedua-duanya warga Brunei di tempat ketiga dan keempat serta Nano Ray dari Miri di tempat kelima.

“Cabaran sememangnya sengit dengan saingan kuat daripada bakat-bakat dari Brunei.

Namun, saya bersyukur dengan kemenangan ini kerana saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk acara ini.

“Saya juga gembira kerana kejuaraan ini menutup kalendar 2015 saya dengan jayanya,” kata Alrzrin yang membuat penampilan pertama dalam sukan bina badan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) edisi Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Kejohanan anjuran Persatuan Bina Badan Bahagian Miri (PBBBM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) menampilkan seramai 35 atlet dari seluruh Sarawak, Brunei dan Indonesia.

Ia diadakan sempena Karnival Transformasi Belia 2015 yang berlangsung di sini hujung minggu lalu.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin dan Presiden PBBBM, Jamilah Ibrahim.

 

 

Advertisement