Anda di sini

RTM disaran siap siaga buat liputan meluas PRN

Advertisement

LIMBANG: Kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di negeri ini disaran untuk bersiap siaga membuat liputan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan awal tahun depan.

Pengarah Jabatan Penyiaran Kawasan Sarawak Salmah Ibrahim Melina berkata liputan meluas mengenai PRN itu amat penting kerana masyarakat akan memberi tumpuan kepada maklumat yang disampai badan penyiaran terbesar di negara ini.

“Kita minta kakitangan RTM melakukan persiapan membuat liputan secara meluas menjelang PRN yang diadakan awal tahun depan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sehati Sejiwa dan Malam Anugerah Q Jabatan Penyiaran Limbang di sini malam kemarin.

Turut sama ialah Pengurus Stesen RTM Limbang Montogomary Montahar, Pengurus Stesen RTM Miri Tabad Sakai, Pemanca Nicholas Buyok Pura dan jemputan lain.

Jelasnya, masyarakat akan memberi tumpuan kepada maklumat yang disampai radio atau televisyen.

Salmah berkata lagi program Radio Di Lokasi juga perlu dipertingkatkan kakitangannya menjelang tahun depan.

Pada masa sama beliau mahu kakitangan jabatan itu agar terus melakukan penambahbaikan prestasi perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.

“Prestasi yang cemerlang perlu ditingkatkan lagi, manakala jika ada kelemahan ia perlu diperbaiki dalam usaha kita meningkatkan mutu perkhidmatan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu beliau turut berterima kasih atas jasa dan bakti kakitangan RTM Limbang yang akan bersara pada majlis sama.

“Jasa mereka amat dihargai dan sumbangan ini perlu diterus untuk berkhidmat dengan masyarakat,” katanya.

Beliau juga mahu pengalaman mereka dijadikan platform mereka menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara.

Pelbagai aktiviti diadakan pada majlis itu termasuk persembahan koir, penyampaian sijil penghargaan, dan Anugerah Pekerja Cemerlang (Q),cabutan tiket bertuah dan pelbagai aktiviti lain.

 

Advertisement