Anda di sini

Sejarah baharu negara tercipta

Advertisement

 Pemain, jurulatih, pegawai skuad pingpong Sarawak merakamkan kenangan bersama Paul (empat kiri) selepas penyampaian hadiah.

BERSEJARAH: Pemain, jurulatih, pegawai skuad pingpong Sarawak merakamkan kenangan bersama Paul (empat kiri) selepas penyampaian hadiah.

KUCHING: Pemain pingpong remaja Sarawak, Alice Chang Li Sian melakar sejarah baharu negara apabila muncul pemain termuda memenangi kejohanan kebangsaan dalam kategori perseorangan wanita pada usia 15 tahun.

Pemain kelahiran Kuching itu bangkit selepas tewas tiga set untuk mengatasi lawannya, Ng Sock Khim yang merupakan pemain kebangsaan dan veteran dari Kedah dengan 4-3 dalam perlawanan akhir Kejohanan Pingpong Malaysia Ke-52 di Dewan SJK Chung Hua, Mentakab, Pahang semalam.

Selain muncul pemain termuda memenangi kejohanan kebangsaan, Alice turut muncul pemain pertama dari Sarawak bergelar juara pada kejohanan tersebut.

Pada aksi final, Ng, 30, yang memenangi pingat perak dalam acara perseorangan wanita Sukan SEA di Singapura mendahului dengan tiga mata selepas menang tiga set 11-6, 11-2 dan 11-6.

Namun, ia bukan penamat bagi Alice di mana beliau bangkit untuk menang dalam empat set (12-10, 11-5, 11-9, 11-7) sekali gus muncul juara.

“Saya berasa sangat gembira dengan kemenangan ini dan ia merupakan perlawanan yang cukup sengit dan terbaik pernah saya lalui,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ia keputusan di luar jangkaan bagi pemain itu yang hanya menyasarkan tempat ke separuh akhir pada kejohanan tersebut.

“Memandangkan saya bukan pilihan, saya tidak berdepan sebarang tekanan atau takut dengan lawan semasa final dan saya hanya mahu memberikan yang terbaik dan menikmati perlawanan ini.

“Tambahan, saya tidak mahu mengecewakan rakan sepasukan, jurulatih dan pegawai pasukan yang hadir sama untuk memberikan sokongan,” katanya lagi.

Menurut Alice, ketika Ng mendahului 3-0, beliau sentiasa mengingatkan dirinya perlawanan itu belum tamat dan masih ada peluang baginya untuk melawan dan memenanginya.

Sebelum ke final, Alice menewaskan Ho Ying dari Johor dengan 3-1 (10-12, 11-7, 12-10, 11-8) dalam suku akhir dan Ting Hie Phin dari Sarawak namun bermain dengan Selangor 4-0 (11-6, 11-2, 11-5, 11-9) pada aksi separuh akhir.

Alice turut memenangi perak dalam acara beregu wanita bersama Karen Lyne Dick, 13, dari Sibu selepas tewas tipis 2-3 (5-11, 11-8, 14-12, 6-11, 8-11) dengan Ting Hie Phin dan Amanda Wong.

Pada Selasa, Alice menggondol gangsa menerusi acara berpasukan wanita bersama Karen, Crystal Tiong, Catherine Chan dan Foo Wui Jia.

Pasukan lelaki Sarawak turut memenangi perak yang diwakili Gabriel Ling, Teng Chang Reen, Calvin Chieng, Derrick Tsai dan Wong Jen Wei.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Sarawak Paul Ling Kiing Tasn meluahkan rasa gembira dan puas hati dengan prestasi pasukan negeri terutama wanita yang berjaya menyumbang satu emas dan satu perak.

“Ia pencapaian yang sangat bersejarah bagi Sarawak selepas kejayaan Alice memenangi pingat emas dalam acara perseorangan,” katanya.

Menurut Paul, Sarawak menampilkan skuad muda yang berdepan pemain yang lebih tua dan berpengalaman sama ada pemain atau bekas atlet kebangsaan.

 

Advertisement